Ajar budak-budak ping pong lagi senang dari ajar orang dewasa, mereka senang dengar kata – Shakirin Ibrahim

580

Jurulatih Persatuan Ping Pong Kuala Lumpur (KLTTA), Shakirin Ibrahim mengakui bahawa untuk mengajar pemain muda dalam sukan tersebut adalah lebih senang berbanding pemain dewasa.

Katanya, pemain dewasa mempunyai ‘akal’ mereka tersendiri, berlainan dengan budak-budak yang mudah menerima arahan.


“Mengajar kanak-kanak saya rasakan tiada cabaran berbeza dengan pemain dewasa kerana mereka mempunyai banyak pengalaman jadi ‘akal panjang’ sikit.

Kalau budak-budak kita ajar A mereka akan buat A, kalau ajar B mereka akan buat B,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Shakirin berkata bahawa untuk tahun 2023, beliau mahu mencari lebih banyak pelapis untuk pasukan tersebut.

Beliau mahu memastikan mereka tidak ketinggalan dalam setiap peringkat umur dan terus bersaing.

“Untuk 2023 kita akan teruskan apa yang kita lakukan dan kita juga akan dapatkan lebih ramai pelapis untuk generasi seterusnya.

Kita tidak mahu ketinggalan untuk setiap peringkat umur dari kanak-kanak sehinggalah dewasa.”

Sementara itu, beliau mengakui bahawa sukan berkenaan tidak begitu popular di Malaysia, dan antara cara untuk meningkatkannya adalah dengan liputan media dan menggunakan media sosial.

Beliau berharap sukan ini akan menjadi lebih popular satu hari nanti dan dapat menarik lebih ramai pemain baharu.