Rekaan jersi KL City FC dan Negeri Sembilan FC sekadar tiru ‘template’ sedia ada, tiada kretiviti dan kecewakan penyokong

4,536

Sebelum bermulanya perlawanan pertama Liga Super 2023, semua pasukan yang bertanding telah melancarkan jersi yang akan dipakai oleh mereka pada musim ini.

KL City FC dan Negeri Sembilan FC turut tidak melepaskan peluang untuk melancarkan jersi baharu mereka beberapa hari sebelum sepak mula perlawanan pertama masing-masing.


Namun rekaan dan corak jersi dua pasukan ini mendapat kritikan daripada pelbagai pihak gara-gara rekaan yang sekadar tangkap muat dan tidak menunjukkan kreativiti.

Negeri Sembilan telah melancarkan jersi home pada hari jumaat, sehari sebelum perlawanan pertama Liga Super menentang Sri Pahang FC dengan jenama pakaian sukan dari Sepanyol, Kelme sebagai penaja.

Tetapi, jersi yang dikeluarkan oleh Negeri Sembilan hanyalah jersi yang menggunakan template yang sudah disediakan oleh penaja tanpa melakukan pengubahsuaian atau membuat kelainan terhadap jersi tersebut, hanya meletakkan logo penaja dan logo pasukan sahaja.

Manakala, KL City juga melancarkan jersi Home sehari sebelum perlawanan pertama berlangsung yang dikeluarkan oleh Li-Ning sebagai penaja pakaian pasukan itu pada musim ini.

Tetapi isu yang sama terjadi apabila rekaan jersi home pasukan KL City sama dengan rekaan jersi di laman web jenama itu.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kerana rekaan yang dipamerkan hayalah daripada template sedia.

Dengan rekaan yang dianggap ‘pemalas’ seperti ini, ia boleh menyebabkan penyokong kelab tidak berminat untuk membeli jersi, dan ini pastinya memberi kesan kepada kantung pasukan.

Kelab harus lebih peka dengan perkara ini dan jangan ingat bahawa tiada penyokong yang mengetahui tentang rekaan jersi pasukan mereka kerana semua maklumat berada di hujung jari.

Seharusnya setiap kelab perlu mencari peluang untuk meraih keuntungan dari penjualan jersi kerana ia merupakan salah satu cara untuk menguatkan kewangan sesebuah pasukan.

Dengan rekaan jersi yang menarik serta corak yang cantik akan menjadikan penyokong berminat untuk mendapatkan jersi tersebut walaupun dengan tanda harga yang sedikit mahal.

Diharap selepas ini pasukan di Malaysia akan lebih peka mengenai rekaan jersi mereka kerana ia melambangkan identiti sebuah pasukan dan merupakan kebanggaan para penyokong.