Melaka FC buka tirai saingan Liga M3 dengan langkah kiri! Masih punya banyak peluang untuk ke Liga Super 2024

1,102

Melaka FC memulakan saingan Liga M3 mereka dengan langkah kiri apabila tewas di tangan KSR Sains FC 3-1 dalam perlawanan di tempat sendiri.

Kekalahan ini sedikit sebanyak memberi tamparan buat Melaka kerana mereka adalah antara pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan musim ini berikutan pasukan itu dibarisi ramai pemain dari Liga Super termasuk penyerang sensasi negara Guilherme de Paula yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT).


Bagaimanapun kekalahan ini tidak boleh seharusnya dijadikan ukuran kerana saingan lagi baru sahaja bermula dan Melaka masih mempunyai masa yang panjang untuk kembali bangkit.

Melaka perlu buktikan penyertaan mereka dalam siangan Liga M3 bukan hanya sekadar pelengkap liga sahaja kerana mereka antara pasukan yang bertuah apabila Amateur Football League (AFL) membenarkan mereka beraksi di Liga M3 tanpa perlu beraksi di saingan Liga M4 atau Liga M5.

Semua sedia maklum dengan permasalahan yang berlaku dalam pasukan Melaka United FC sebelum ini yang tidak dibenarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Super dek masalah tunggakan gaji.

Tidak lama kemudian Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) ditubuhkan dan kelab Melaka FC diperkenalkan.

Walaupun dikecam hebat oleh peminat bola sepak tanah air, namun Pengerusi AFL iaitu Datuk Wira Yusoff Mahadi telah tampil menjelaskan bahawa kelab itu dibenarkan untuk beraksi di Liga M3 kerana mereka tiada kaitan dengan Melaka United.

Tambah Yusoff Mahadi lagi, pihaknya mengambil keputusan untuk benarkan Melaka beraksi dalam saingan liga kompetitif kerana tidak mahu bola sepak di negeri itu ‘mati’.

Dalam pada itu, apa yang membuatkan pasukan Melaka menjadi pasukan bukan sahaja kerana dibarisi ramai pemain profesional, tetapi juga dikendalikan oleh ketua jurulatih import iaitu Pedro Hipolito.

Malah pelancaran jersi dan memperkenalkan barisan pemain juga dibuat secara besar-besaran yang turut dihadiri oleh ramai figura bola sepak tanah air termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sementara itu, Melaka kini perlu bekerja keras bagi memastikan mereka mengumpul mata semaksimum yang mungkin dalam setiap perlawanan yang diharungi oleh mereka supaya impian atau sasaran mereka yang mahu layak ke Liga Super pada musim 2024 akan tercapai.

Antara pasukan lain yang turut menjadi pilihan untuk mencabar kejuaraan Liga M3 musim ini termasuk Harini FT, PIB FC, BRM FC dan Sarawak United FC.