KBS tawar geran tukar rumput Zeon Zoysia, kini tunggu maklum balas dari kerajaan negeri samada mahu terima atau tidak – Hannah Yeoh

4,853

Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu pihaknya kini sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri mengenai keputusan mereka samada mahu menerima geran untuk penukaran rumput padang di stadium bola sepak atau tidak.

Ini kerana pihak KBS menawarkan geran kepada kerajaan negeri untuk menukar rumput di stadium mereka kepada rumput jenis Zeon Zoysia, namun geran tersebut hanya merangkumi kos penukaran rumput sahaja.


“Dalam perjumpaan saya dengan EXCO KBS semua negeri dalam mesyuarat pertama Januari lalu, saya bagi pihak KBS telah beri cadangan naik taraf padang menerusi geran kepada semua EXCO negeri untuk mereka pilih stadium yang ingin dinaik taraf untuk rumput Zeon Zoysia.

Naik taraf padang dibuat oleh negeri, KBS boleh bagi kos untuk menanam rumput tapi penyelenggaran perlu dilakukan oleh negeri. Jadi saya hanya akan tahu maklum balas rasmi dalam mesyuarat kedua samada mereka terima tawaran itu atau tidak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya lagi, sebelum pihaknya meluluskan geran tersebut kepada kerajaan negeri yang berminat, mereka perlu lakukan penyelenggaran dan pembaikan saliran terlebih dahulu sebelum penanaman rumput dilakukan.

Hannah bagaimanapun berkata mungkin ada kerajaan negeri yang tidak akan terima tawaran geran ini kerana tidak mampu untuk menyelenggara.

“Lepas rumput ditanam, mereka (kerajaan negeri) perlu menyelenggara sendiri rumput tersebut. Jadi bukan semua negeri mampu dan bukan semua negeri yang nak rumput ini.”

Beliau berkata demikian selepas diminta untuk memberi perkembangan terbaru mengenai inisiatif untuk bantu menaik taraf rumput di stadium milik kerajaan negeri.

Semalam, seluruh peminat bola sepak ramai yang memperkatakan mengenai kualiti padang di Stadium Negeri Sarawak ketika perlawanan Liga Super membabitkan Kuching City FC dan Sabah FC yang memperlihatkan kualiti padang yang sangat teruk akibat hujan.

Keadaan padang yang daif seperti itu bukan sahaja merencatkan permainan, tetapi juga akan menyebabkan pemain mudah mengalami kecederaan dek permukaan padang yang berlumpur dan bertakung.

Oleh itu, diharap kerajaan negeri yang menyewakan stadium mereka kepada pasukan yang beraksi di Liga Super dapat menerima tawaran KBS untuk menukar rumput yang lebih berkualiti.

Dengan rumput berkualiti ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti bola sepak sesebuah pasukan dan negara juga akan mendapat manfaat darinya.