Jangan lantik Brad Maloney kendalikan skuad senior Malaysia!

5,441

Sebentar tadi dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita perletakkan jawatan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Perletakkan jawatan itu telah diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media dengan mendedahkan Cheng Hoe membuat keputusan itu kerana gagal membawa skuad Harimau Malaya ke separuh akhir Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.


Berita tersebut tidaklah mengejutkan peminat bola sepak tempatan kerana mereka sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku, tetapi apa yang mengejutkan adalah perletakkan jawatan Cheng Hoe dibuat sebelum laporan ‘post-mortem’ selesai telah mencetuskan persoalan di kalangan peminat.

Sumber foto: FAM Facebook

Susulan jawatan ketua jururalith skuad senior kini kosong, beberapa nama calon yang sebelum ini diuar-uarkan kini menjadi hangat diperkatakan terutamanya ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney yang dikatakan calon sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan ‘panas’ itu.

Khabar angin semakin kuat mengatakan Maloney bakal dilantik sebagai pengendali baru skuad negara selepas kontrak beliau bersama pasukan B-23 tahun disambung hingga 2023.

Jika khabar angin ini benar-benar menjadi kenyataan, persoalan yang akan timbul adalah apa akan terjadi kepada skuad B-23 negara memandangkan mereka kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi tiga kejohanan besar iaitu Piala AFF 2022 B-23 (Februari), Sukan Sea Vietnam (Mei) dan Piala Asia B-23 (Jun).

Baru-baru ini juga Maloney telah menyuarakan hasratnya yang mahu pihak FAM mengatur sekurang-kurangnya tiga aksi pemanas badan antarabangsa sebelum saingan Piala AFF bermula.

Ini akan menjadi satu mimpi buruk dan merencatkan rancangan skuad B-23 yang sebelum ini diharapkan dapat menebus kekecewaan skuad senior yang tersingkir awal Piala AFF 2020 baru-baru ini selepas dimalukan Indonesia pada perlawanan terakhir kumpulan.

Rekod Maloney sebagai pengendali skuad B-23 sangat cemerlang apabila beliau berjaya membimbing skuad negara menjuarai kumpulan di kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia baru-baru ini.

Malaysia berjaya menumpaskan Laos dan Mongolia dengan keputusan 1-0 sebelum mengikat Thailand tanpa jaringan sekaligus mengesahkan tempat dalam saingan akhir yang akan berlangsung di Uzbekistan Jun depan.

Sumber foto: FAM Facebook

Ketika ini harapan seluruh peminat bola sepak Harimau Malaya beralih kepada skuad B-23 yang dilihat mempunyai potensi yang cukup cerah untuk mencipta kejayaan berikutan prestasi cemerlang mereka sebelum ini.

Jadi diharap pihak FAM akan fikir semasak-masaknya jika mahu lantik Maloney sebagai ketua jurulatih skuad senior bagi menggantikan Cheng Hoe kerana ia akan menjejaskan momentum skuad B-23 negara.

Sumber foto: KL City FC Facebook

Banyak lagi calon yang mampu galas jawatan ‘panas’ ini antaranya jurulatih dari KL City FC iaitu Bojan Hodak yang turut disebut-sebut sebagai pengganti Cheong Hoe apabila beliau berjaya menamatkan kemarau piala pasukan itu dengan menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini.

Selain itu terdapat beberapa nama lagi yang boleh dipertimbangkan FAM seperti Nafuzi Zain yang merupakan salah seorang jurulatih tempatan terbaik ketika ini.

Tetapi jika FAM benar-benar mahu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan skuad negara, mereka boleh lantik jurulatih sensasi Lim Teong Kim yang merupakan seorang jurulatih yang cukup hebat dan lantang menyuarakan pendapatnya demi kemajuan bola sepak.

Teong Kim tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau merupakan seorang jurulatih yang sangat hebat yang telah melahirkan ramai bintang bola sepak terkemuka dunia Jerman seperti Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Toni Kroos dan ramai lagi ketika menjadi jurulatih di Bayer Munich.

Malah beliau juga  pernah dilantik sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang mana ia telah melahirkan ramai pemain-pemain muda berkualiti.

Jadi persoalan yang akan menjadi tanda tanya seluruh peminat Harimau Malaya ketika ini adalah siapakah ketua jurulatih baru skuad senior negara? Adakah ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini? Atau akan diumumkan selepas laporan ‘post-mortem’ didedahkan? Sama-sama kita tunggu.