Azmeer Yusof main bola semula sebab anak

733

Pemain bola sepak popular Azmeer Yusof telah mengejutkan ramai apabila beliau menyuarakan hasratnya untuk kembali ke kancah Liga Malaysia dan sanggup bermain secara percuma.

Impiannya untuk kembali beraksi di padang akhirnya tercapai juga apabila pasukan Liga M3, BRM FC menandatanganinya untuk bermain bersama pasukan itu untuk musim 2022.


Bercerita lanjut mengenai keputusannya untuk keluar dari perasaraannya, Azmeer mendedahkan antara salah satu faktor adalah kerana anak dan kedua ibu bapanya.

“Anak kedua saya Nur Marissa Sofea berusia dua tahun sering bertanya ‘dulu papa main bola ka’ kerana dia tidak sempat melihat saya bermain bola sepak. Jadi itu membuatkan saya ingin bermain semula.

Selain itu kedua ibu bapa juga minta saya kembali beraksi membuatkan saya kembali membuak-buak untuk kembali main bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: Azmeer Yusof Facebook

Menurut Azmeer, ketika dia menyuarakan hasratnya untuk kembali main ada tiga pasukan yang berminat mendapatkannya, namun perbincangan yang dilakukan seperti tiada pangkal hujung.

Bagaimanapun pasukan BRM menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmatnya apabila CEO dan pengurus pasukan itu sanggup turun ke Bukit Jelutong, Selangor dari Kuala Kangsar untuk melihatnya bermain secara senyap-senyap.

“Saya menandatangani kontrak bersama BRM selama setahun. Walaupun saya mahu main secara percuma, tetapi atas sifat kemanusiaan CEO BRM, mereka tetap bayar gaji saya.”

Kesungguhan dan keikhlasan pasukan BRM membuatkannya mahu memberikan yang terbaik buat pasukan barunya nanti dan mahu bawa pasukan ini naik ke Liga Perdana.

Walaupun dilihat seperti ‘turun pangkat’ apabila beliau yang sebelum ini pernah bermain untuk pasukan besar di Liga Super kini bermain di Liga M3, namun Azmeer tidak berasa seperti itu sebaliknya teruja.

Sumber foto: Azmeer Yusof Facebook

“Saya harus jujur dengan diri saya. Selama setahun tidak bermain bola sepak secara kompetitif, jadi biar saya bermula dari bawah. Tambahan saya tidak pernah main dalam Liga M3, jadi saya nak sangat main untuk dapatkan pengalaman dalam perebutan menjadi juara Liga M3.”

Sementara itu, Azmeer turut sempat mengulas mengenai prestasi pasukan Malaysia ketika saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini yang mana menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tersingkir awal di peringkat kumpulan.

Azmeer berkata jurulatih dan pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik dan edisi kali ini tiada rezeki buat pasukan negara untuk menjadi juara. Beliau turut mengulangi pandangannya terhadap program naturalisasi FAM iaitu tidak bersetuju dengan program itu sejak dari awal lagi.

“Dari dulu lagi apabila saya ditanya tentang ini saya akan telus untuk beritahu saya tidak setuju. Naturalisasi tidak ada jiwa bermain untuk Malaysia.”

Ditanya adakah beliau akan menerima sekiranya ada pasukan daripada Liga Super mahukan khidmatnya selepas ini, Azmeer berkata beliau perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan BRM kerana beliau tidak mahu membelakangkan pasukan yang memberinya peluang untuk kembali beraksi selepas bersara.