Padamkan api kebencian, bersatu untuk kemanusiaan

132

Bila bercakap mengenai dunia boleh sepak sudah semestinya tidak akan lari dari isu permusuhan di kalangan pemain termasuklah peminat sendiri.

Namun permusuhan itu hanyalah sekadar ketika dua pasukan sedang berentap di atas padang, dan apabila perlawanan tamat segala permusuhan terlerai.


Tidak dapat dinafikan ada segelintir peminat yang mengagungkan budaya ‘hooligan’ sehingga ia memudaratkan, tetapi masih banyak lagi yang hanya bermusuhan ketika perlawanan bola sahaja dan apabila sesuatu bencana berlaku semua bersatu hati dalam menghulurkan bantuan.

Terbaru ketika negara dilanda banjir besar yang telah menyebabkan ribuan mangsa banjir di enam negeri kehilangan tempat tinggal, pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris antara yang terawal menghantar bantuan.

TMJ telah mengarahkan pasukan sukarelawan Southern Volunteers untuk turun padang bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Menerusi laman sosial Twitter TMJ, baginda aktif menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk di negeri baginda di Johor yang turut terjejas teruk akibat banjir.

Baginda turut mengemas kini perkembangan banjir dari semasa ke semasa bagi memastikan mangsa banjir mendapat bantuan secepat mungkin.

Bukan beri bantuan sahaja, tetapi baginda turun padang sendiri untuk melihat situasi banjir yang berlaku di negerinya.

Walaupun ramai peminat bola sepak yang sering mengecam baginda apabila berkaitan dengan dunia bola sepak, tetapi apabila ia berkaitan dengan isu-isu membabitkan rakyat jelata baginda sangat dikagumi oleh rakyat di seluruh negara atas keprihatiannnya.

Selain sibuk dengan pemberian bantuan kepada mangsa banjir, baginda juga turut berjanji akan buat apa sahaja untuk memperbaiki pengurusan saluran air untuk mengelak masalah banjir berlaku setiap tahun.

Tindakan baginda ini turut memberi inspirasi kepada orang ramai untuk sama-sama tampil memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sejak banjir melanda negara baru-baru ini, muncul wira-wira tak didendang dilaporkan di media sosial dan yang menjadi viral baru-baru ini adalah seorang lelaki yang dikenali sebagai Abang Viva yang sanggup meredah ratusan kilometer membawa bot kecil di atas keretanya demi membantu mangsa banjir.

Apabila musibah menimpa, kita dapat melihat bagaimana rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau kaum bersatu hati dalam memberikan bantuan. Ia sangat berbeza dengan apa yang dikatakan oleh ahli politik yang sering menggunakan isu perkauman untuk memecah belahkan rakyat.

Jadi akhir kata, ingat sukan sepatutnya menyatukan kita dan bukan memecah belahkan.