Siapakah yang bakal dilantik sebagai Pengarah Teknikal untuk FAM?

169

Setelah perletakan jawatan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada bulan September yang lalu, beberapa nama telah disebut sebagai calon bagi menggantikannya.

Antara kriteria penting sebagai seorang Pengarah Teknikal untuk FAM adalah harus memahami selok-belok budaya bola sepak di Malaysia.


Hal ini kerana, setelah mengenali budaya bola sepak negara sudah pasti tidak menjadi masalah kepadanya untuk merencana hala tuju bola sepak Malaysia.

Terdapat tiga individu yang dirasakan mampu untuk menggalas jawatan selaku Pengarah Teknikal bagi FAM.

B. Sathianathan

Sumber Foto : Selangor FC

Mempunyai pengalaman selama 30 tahun didalam kancah Liga Malaysia terutama sekali dalam bidang kejurulatihan, pembangunan bola sepak dan budaya bola sepak di negara tidak boleh disangkalkan lagi.

Sathianathan mula menjadi jurulatih pada tahu 1992 apabila membimbing Negeri Sembilan dalam saingan Piala Emas. Setelah daripada itu, beliau terus diberi kepercayaan untuk membimbimg beberapa pasukan di dalam negara.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik menjadi jurulatih skuad Harimau Malaya pada tahun 2007 sehingga 2009.

Beberapa pencapaian terbaik sepanjang menjadi jurulatih adalah beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia dan membimbing pasukan ATM memenangi saingan Liga Premier.

Berdasarkan pengalaman luasnya serta kelantangan terhadap sesuatu perkara, beliau wajar diberi peluang untuk menjadi Pengarah Teknikal kepada FAM.

Tambahan, sekarang B. Sathianathan memegang jawatan Pengarah Teknikal untuk pasukan Sarawak United jadi beliau merupakan antara calon yang paling layak.

Scott O’Donell

Sumber Foto : AIFF

Scott O’Donell merupakan bekas pemain Kuala Lumpur pada tahun 1994 sehingga 1995. Selain itu, beliau juga pernah beraksi untuk kelab di Liga Singapura, Tampines Rovers.

Malahan, Scott O’Donell juga pernah membimbing skuad kebangsaan Kemboja sebanyak dua kali pada tahun 2005 sehingga 2007 dan 2009 sehingga ke 2010.

Pengalaman melatih skuad kebangsaan Kemboja menjadikan beliau arif tentang budaya bola sepak di Asia Tenggara khususnya di Kemboja, Singapura dan Malaysia.

Di samping itu, pada ketika ini beliau menjadi Pengajar Kejurulatihan Akademi Bola Sepak India (AIFF).

Berdasarkan pengalamannya yang luas, Scott O’Donell juga mampu memikul tugas selaku Pengarah Teknikal di FAM.

Dollah Salleh

Sumber Foto : Sri Pahang FC

Nama yang tidak asing lagi dari peminat tanah air apabila sebut sahaja tentang Dollah Salleh. Salah seorang jurulatih yang berkaliber di negara Malaysia.

Malahan, Dollah juga merupakan bekas pemain bola sepak negara yang digeruni suatu ketika dahulu terutama sekali apabila berganding bersama rakan baiknya iaitu Zainal Abidin Hassan.

Dollah dikatakan mempunyai magis tersendiri apabila berjaya merangkul pelbagai gelaran bersama pasukan yang dibimbingnya.

Pada tahun 2003, Dollah Salleh berjaya menggegarkan negara apabila mampu membawa sebuah kelab iaitu MPPJ menjuarai Piala Malaysia yang cukup gah itu.

Dollah juga berjaya mengecapi beberapa kejuaraan dalam kariernya sepanjang menjadi seorang jurulatih.

Statusnya selaku pemain lagenda negara dan jurulatih yang berkaliber, beliau seharusnya diberi peluang untuk menjadi Pengarah Teknikal di FAM kerana beliau sudah pasti mempunyai visi tersendiri yang ingin dilaksanakan kepada pembangunan bola sepak negara.

Jadi siapakah bakal menjadi pengganti kepada Datuk Ong Kim Swee untuk menggalas jawatan Pengarah Teknikal ini.