Steffi Sarge Kaur dedah dapat tawaran dari kelab luar negara tapi terpaksa tolak kerana faktor usia

832

Pemain MBSJ FC, Steffi Sarge Kaur mengakui ada menerima tawaran dari kelab luar negara yang mahukan khidmatnya, namun beliau terpaksa menolak kerana faktor usia.

Menurut Steffi, dengan usianya yang kini sudah berusia 34 tahun beliau lebih selesa bermain dalam negara.


“Sebenarnya memang ada tawaran dari luar negara tapi dengan usia saya sekarang ini rasanya lebih baik saya bermain di peringkat kelab di negara.

Dua kelab dari negara berbeza ada berminat untuk dapatkan khidmat saya iaitu satu di Maldives dan satu lagi di Timor Leste. Kalau saya masih muda lagi memang saya akan berhijrah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain kebangsaan Malayan Tigress yang kini bermain untuk kelab MBSJ telah berjaya membantu pasukannya untuk mara ke perlawanan akhir FAS Womens Super League selepas berjaya menewaskan Kelana United FC dalam penentuan sepakan penalti malam tadi.

Beliau mengakui perlawanan menentang Kelana United sangat sengit apabila kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol dalam tempoh perlawanan sebenar sehingga terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

“Perlawanan ini sangat sengit apabila kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol dan ke penentuan penalti juga masih buntu sehingga diheret ke sudden death. Apa pun saya rasa kami berhak untuk menang malam dan pujian harus diberikan kepada penjaga gol saya yang berjaya menyelamatkan tiga sepakan penalti.”

Susulan kejayaan itu, MBSJ bakal bertemu dengan UPNM FC pada perlawanan akhir pada 19 Mac ini.

Dalam pada itu, Steffi turut memberi kata-kata semangat kepada skuad Malayan Tigress B-20 yang bakal menentang Myanmar pada perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang mana skuad kendalian Cameron Ng dalam misi wajib menang.

“Bagi saya gol di saat-saat akhir itu memang mengecewakan (skuad negara tewas 1-0 kepada Kemboja), tapi saya tak mahu pemain-pemain muda ini mengalah lagi sebab saya tahu mereka ada peluang lagi kerana jika mereka menang dengan Myanmar, mereka akan layak.”

Oleh itu beliau berharap agar kesemua pemain-pemain negara akan memberikan aksi 200% untuk memperoleh kemenangan.

Sementara itu, beliau juga sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong MBSJ yang sentiasa hadir untuk memberi sokongan setiap kali mereka turun beraksi.