Dah letih atau dilupakan? ‘Mesin’ direhatkan untuk perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan, Hong Kong

4,575

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon ke kem latihan pusat Harimau Malaya.

Kem latihan pusat yang berlangsung di Johor Bahru, Johor akan bermula pada 18 Mac ini bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).


Untuk senarai pemain kali ini, Pan-gon mengekalkan sembilan pemain sahaja dari skuad Piala AFF 2022 dengan 14 ‘mesin’ lain direhatkan buat sementara waktu.

14 pemain ‘mesin’ tersebut termasuk salah seorang kapten pasukan, Safawi Rasid, Fazly Mazlan, Mukhairi Ajmal, Azam Azmi, Sergio Aguero, Lee Tuck dan beberapa lagi.

Sementara itu, sebanyak lapan pemain baru dipanggil iaitu Fayadh Zulkifli, Daniel Ting, Paulo Josue, Endrick Dos Santos, Feroz Baharudin, Damien Lim, Sikh Izhan Nazrel dan juga Nooa Laine.

Senarai pemain yang dipanggil kali ini mungkin merupakan salah satu strategi dan taktikal pengendali dari Korea Selatan itu untuk mengembangkan lagi player pool beliau menjelang Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada Januari 2024.

Semua sedia maklum bahawa sejak skuad Harimau Malaya diambil alih Pan-gon, beliau sememangnya dilihat akan memberi peluang kepada pemain-pemain yang mempunyai potensi untuk menyerlah dan tidak lagi hanya akan menggunakan pemain yang sama sahaja.

Tindakan ini juga akan membuatkan barisan kejurulatihan pihak lawan sukar untuk meramal strategi dan taktikal yang akan diguna pakai oleh skuad negara berikutan beliau sering melakukan rotasi pemain.

Sesiapa pun yang dipanggil, penyokong mengharapkan agar kesemua pemain memberikan komitmen tinggi apabila menyarung jersi negara.

Ayuh Ekor Harimau Malaya, kita hadir ke stadium untuk beri sokongan padu buat pemain negara!