Biar betul! FAM tak telus dengan Tan Cheng Hoe untuk sasaran ke final?

8,295

Semalam dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita perletakan jawatan ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe walaupun laporan ‘post-mortem’ kegagalan di Piala AFF 2020 baru-baru ini belum dibentangkan.

Walaupun keputusan drastik yang diambil oleh pengendali Harimau Malaya ini dianggap ‘gentleman’, namun segelintir peminat mula mempersoalkan samada pihak pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan turut mengambil tindakan sama.


Dalam satu temubual bersama sebuah portal sukan, pengendali berusia 53 tahun itu menafikan keputusan perletakan jawatan itu dibuat atas desakan mana-mana pihak.

Sumber foto: FAM Facebook

Pada masa sama turut menafikan dirinya ‘dikambinghitamkan’, sebaliknya keputusannya itu dibuat berdasarkan kegagalannya bawa pasukan ke peringkat akhir.

Bagaimanapun dalam temubual itu, Cheng Hoe mendedahkan bahawa beliau tidak dimaklumkan awal mengenai sasaran FAM yang menyasarkan skuad negara layak ke peringkat akhir.

Malah beliau juga berkata apabila mendapat tahu mengenai sasaran yang diletakan FAM, beliau mengambil ia sebagai satu cabaran walaupun beliau sendiri tahu pasukan tidak mempunyai kekuatan untuk mara ke peringkat akhir.

Kenyataan Cheng Hoe ini menimbulkan tanda tanya samada pihak FAM ada membuat perbincangan dengan jurulatih untuk meletakkan sasaran realistik atau buat sasaran ‘syok sendiri’ untuk sedapkan hati peminat yang pasukan negara mampu ulangi kejayaan mara ke peringkat akhir seperti edisi 2018.

Sumber foto: FAM Facebook

Cheng Hoe mengakui beliau perlukan pemain-pemain utama untuk membentuk sebuah pasukan yang ampuh selain mempunyai persefahaman yang tinggi. Bagaimanapun kekurangan masa persiapan dek pandemik COVID-19 telah menjadi penghalang.

Namun Cheng Hoe pada masa berkata pasukan yang layak ke separuh akhir seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan juara Thailand turut berdepan masalah sama tetapi berjaya berjaya mempersiapkan skuad mereka sebelum mengharungi saingan Piala AFF.

Berdasarkan kenyataannya ini, apakah yang cuba Cheng Hoe sampaikan? Adakah ia berpunca dari pihak tertentu menyebabkan skuad negara tidak mempunyai masa yang cukup untuk buat persiapan.

Tambahnya lagi, keputusan untuk meletak jawatan dibuat bagi memberi peluang kepada jurulatih lain yang mampu melakukan kerja lebih baik daripadanya.

Sebenarnya banyak lagi isu yang menjadi persoalan di kalangan peminat terutamanya siapa yang membuat keputusan untuk bawa 24 pemain dan bukannya 30 pemain seperti yang dibenarkan.

Kenapa pemain-pemain yang berada pada prestasi terbaik tidak dipanggil? Kenapa guna pemain yang menjadi pemanas bangku simpanan apabila bermain di Liga Malaysia dan bermacam-macam lagi.

Sumber foto: FAM Facebook

Kini persoalan baru yang timbul di kalangan peminat adalah adakah laporan ‘post-mortem’ akan dibentang dan didedahkan kepada umum selepas perletakan jawatan Cheng Hoe atau akan senyap begitu sahaja?

Untuk rekod, sejak Cheng Hoe mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan beliau telah mengendalikan 41 perlawanan dengan 20 kemenangan, 17 kekalahan dan empat seri.

Era Cheng Hoe bersama Harimau Malaysia boleh dikatakan agak cemerlang apabila beliau memberi nafas baru dalam bola sepak Malaysia dan berjaya memperbaiki kedudukan ranking dunia dari 178 kepada 153.

Selepas meletakkan jawatan, Cheng Hoe kini mahu berehat seketika dari dunia bola sepak dan masih belum mempunyai perancangan untuk masa depan.

Bagaimanapun Cheng Hoe berkata bola sepak masih lagi menjadi keutamaannya dan beliau akan menerusikan karier sebagai jurulatih.

Beliau juga menyuarakan hasrat untuk melatih pasukan di luar negara sekiranya mendapat peluang kerana ia adalah impiannya sejak menceburkan diri dalam dunia kejurulatihan bola sepak.