Pernah sebaris Camavinga dalam kesebelasan terbaik, Alias Alan berjaya genggam diploma, tunjukkan pelajaran juga penting

708

Nama Alias Alan mungkin masih segar dalam memori sebilangan peminat bola sepak tempatan yang pernah mengikuti perkembangannya sejak berada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dahulu.

Beliau yang kini bersama pasukan Piala MFL, Skuad Projek FAM-MSN pernah berada sebaris dengan bintang Real Madrid, Eduardo Camavinga apabila terpilih dalam kesebelasan utama terbaik pada kejohanan Elite Cup Cote D’Azur 2016, selain penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan.


Baru-baru ini, beliau berjaya menamatkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif yang baik iaitu 3.47.

Beliau juga berjaya menerima Anugerah Dekan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh pembelajarannya.

Alias membuktikan bahawa atlet terutamanya pemain bola sepak juga harus mementingkan pendidikan selain daripada fokus terhadap sukan semata-mata.

Beliau sebelum ini pernah mengalami kecederaan ACL dan terpaksa melupakan bola sepak hampir setahun, namun kini sudah bermain semula.

Selepas mengalami kecederaan itu, beliau pastinya sedar akan kepentingan mendapatkan sijil pelajaran atau menyediakan pelan kedua selain bola sepak.

Diharapkan kejayaan menamatkan pelajaran ini akan memberi motivasi dan semangat tambahan kepada Alias untuk berjaya dalam bola sepak dan mengikut jejak Sikh Izhan.

Selepas Sikh Izhan, mungkin pada masa hadapan beliau pula akan mendapat panggilan mewakili skuad kebangsaan.