Penyokong Perak FC perlu faham dan bersabar dengan perancangan jangka panjang Lim Teong Kim

588

Selepas memperoleh kemenangan pertama baru-baru ini, Perak FC tidak dapat meneruskan momentum tersebut apabila mereka tewas 3-0 kepada Sri Pahang FC semalam di Ipoh, Perak dalam perlawanan kelima Liga Super.

Perlawanan sekali lagi menyaksikan pemain Perak sekali lagi dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan kepada pemain lawan menyebabkan rentak permainan mereka.


Bagaimanapun perlawanan tidak sahaja ‘panas’ ketika perlawanan berlangsung, tapi selepas tamat perlawanan juga ‘panas’ apabila tular video memaparkan ketua jurulatih Datuk Lim Teong Kim dilihat bertengkar dengan penyokong.

Tindakan itu telah mendapat pelbagai reaksi dan salah sebuah kelab penyokong The Bos Gaurus akhirnya telah tampil memohon maaf atas sikap segelintir penyokong yang bersikap kasar selepas kekalahan semalam.

Ia satu tindakan yang cukup positif kerana dalam dunia bola sepak kelab perlukan penyokong, dan penyokong perlukan kelab.

Budaya samseng bola sepak perlu dihentikan kerana ia tidak memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Penyokong Perak perlu bersikap lebih terbuka dan lebih faham dengan situasi kelab kesayangan mereka ketika ini.

Mereka perlu sedar bahawa kelab mereka sebenarnya hampir terkubur dek masalah kewangan sebelum ini, namun akhirnya diselamatkan oleh XOX Berhad yang datang dengan perancangan jangka panjang kelab.

Dibawah kendalian Teong Kim, beliau telah menyatakan hasratnya untuk membina pasukan itu semula dari bawah dan pihak pengurusan juga bersetuju dengan perancangan jangka panjang tersebut.

Ia dapat dilihat apabila beliau membawa masuk ramai pemain muda untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Selepas lima perlawanan, mereka berjaya menang sekali, seri dua kali dan tewas dua kali. Walaupun tidak mempamerkan prestasi konsisten, tetapi bagi penyokong yang faham dengan apa yang sedang dilakukan oleh Teong Kim pasti gembira dengan keadaan semasa kelab.

Tambahan pula musim ini tiada penyingkiran, maka ia sangat sesuai untuk Teong Kim membina pasukan dan hasilnya mungkin hanya boleh dapat dilihat pada musim hadapan.

Jadi penyokong perlu beri sokongan dan kepercayaan penuh kepada Teong Kim dan kelab kerana mereka sudah ada ‘blueprint’ untuk mengembalikan zaman kegemilangan Perak.

Contoh terbaik yang penyokong Perak boleh rujuk adalah kelab terkenal di English Premier League (EPL) iaitu Arsenal.

Penyokong The Gunners juga pada awalnya mengkritik hebat pengendali Mikel Arteta apabila beliau membina semula pasukan dengan pemain-pemain muda, tetapi lihat sahaja hasilnya pada musim ini.

Arsenal kini berada di puncak liga dan dalam misi untuk menjulang trofi EPL musim ini selepas kali terakhir mereka berjaya menjadi juara adalah pada tahun 2003.