Bojan Hodak antara calon pengganti Tan Cheng Hoe?

188

Susulan kegagalan Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan membawa skuad senior mara ke peringkat separuh akhir dan gagal meraih Piala AFF Suzuki Cup 2020, nama Bojan Hodak muncul sebagai antara yang disebut-sebut bakal menggantikan ‘kerusi panas’ itu. Malah, Bojan sendiri mengakui beliau tidak terkejut sekiranya namanya dicalonkan sebagai bakal pengemudi skuad Harimau Malaya.

Topik pengganti ketua jurulatih ini semakin hangat diperkatakan peminat bola sepak tanah air apabila Tan Cheng Hoe sendiri telah mengambil keputusan drastik melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan meskipun ‘post-mortem’ belum dijalankan. Berita itu diumumkan oleh Football Association Malaysia (FAM) melalui siaran media di akaun sosial media rasmi mereka semalam.


Situasi ini pastinya akan menggusarkan skuad ‘Anak Kota’ seandainya benar Bojan Hodak dipilih untuk memegang jawatan tersebut. Berikutan kemenangan skuad KL City FC menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 sekaligus menamatkan penantian 32 tahun sejak kali terakhir pasukan KL City Fc memegang ‘title’ tersebut pada tahun 1989, pengendali yang berasal dari Crotia itu dilihat sebagai antara individu yang paling sesuai menggantikan kekosongan tersebut.

Kredit Foto : Facebook Kuala Lumpur City FC

Kepakaran Bojan Hodak dalam merancang dengan sistematik dan sentuhan magis yang dimiliki olehnya adalah ciri-ciri yang amat diperlukan dalam seorang pengendali pasukan. Justeru, itu menjadi antara intipati utama kemenangan skuad KL City FC di samping kerja keras yang ditunjukkan para pemain The City Boys itu sendiri. Pastinya, kepakaran Bojan akan terus ditagih bagi meneruskan perjuangan KL City FC yang bakal beraksi di saingan Piala AFC.

Sekiranya benar sangkaan Bojan bakal ‘dilamar’ FAM, pihak pengurusan KL City FC harus bersedia kerana pastinya telah banyak perancangan yang mereka rangka bersama Bojan. Sedikit sebanyak ini akan merencatkan persiapan KL City FC dalam mengharungi musim baru dan persediaan mereka ke Piala AFC. Tambahan pula, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard sendiri mengakui yang mereka belum bersedia mengharungi kejohanan besar itu.

Fokus utama KL City pastinya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dan memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Super kerana mereka hanya menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-7 dengan 33 mata di belakang Selangor FC. Meskipun ketika ini skuad KL City FC dilihat masih ‘menyepi’ dengan berita mengikat mana-mana pemain baru seperti yang sedang rancak dilakukan kebanyakan pasukan ketika ini, Coach Bojan Hodak pastinya telah mempunyai perancangan yang tersendiri tentang pemain yang menjadi pilihannya bagi membarisi pasukan itu musim ini.

Tanpa kehadiran Bojan, KL City FC dilihat sukar untuk memenuhi target mereka. Kelebihan Bojan dalam menganalisis dan memilih para pemain nyata memainkan peranan besar dalam menentukan prestasi KL City apabila Stanley sendiri menyatakan bahawa tiada ‘campur tangan’ dalam hal pemilihan barisan pemain dan kejurulatihan serta memberi kebebasan sepenuhnya kepada Bojan Hodak. KL City FC dijangka akan terumbang-ambing jika kehilangan ketua jurulatih mereka kerana tanpa nakhoda yang baik, manakan kapal boleh berlayar dengan baik.

Dari sudut sambutan fans pula, akan menjejaskan jangkaan dan harapan mereka terhadap skuad The City Boys itu kerana kebanyakan dari mereka baru mula mengenali skuad ini dan mempercayai barisan pemain yang ada. Sudah tentu mereka sudah tidak sabar lagi untuk menantikan musim baru untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi terutamanya di pentas kejohanan Asia, Piala AFC 2022.