Kami datang sini untuk tunjuk yang kami mampu bermain dengan baik di tempat lawan – Esteban Solari

864

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan persembahn pasukannya apabila mereka berjaya menang bergaya 4-0 dengan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Menurut Solari, beliau gembira apabila pemain-pemainnya menunjukkan karakter yang cukup baik sepanjang tempoh 90 minit permainan.


“Hari ini adalah perlawanan penting kerana kami menentang pencabar utama kejuaraan. Kami tahu ia perlawanan sukar kerana mereka mempunyai jurulatih dan pemain berkualiti serta mereka bermain di tempat sendiri.

Jadi hari ini saya gembira dengan pemain saya kerana mereka tunjukkan karakter mereka. Saya suka dengan pasukan yang ada karakter kerana kita ada kualiti dan intensiti, jadi kadang kala kita perlu tunjuk karakter.

Kami datang ke sini untuk tunjuk yang kami mampu bermain dengan baik di tempat lawan,”

katanya.

Solari berkata beliau tidak melakukan sebarang perubahan taktikal walaupun perlawanan di separuh pertama mereka gagal mendapatkan gol, sebaliknya pemain-pemain sendiri yang tahu apa yang perlu dilakukan untuk cuba dapatkan keputusan positif.

“Untuk separuh masa kedua, kita perlu bertahan dengan baik dan jika kita bertahan dengan baik, kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Jadi separuh masa kedua kami lebih efektif dan akhirnya kami menamatkan perlawanan dengan keputusan yang baik.”

Dalam pada itu, Solari juga menjelaskan tindakannya yang meletakkan Arif Aiman bermain di bahagian serangan tengah kerana percaya dengan kemampuan itu yang mampu bermain di beberapa posisi berlainan.

“Arif seorang pemain yang mempunyai potensi yang cukup besar. Saya mahu beri beliau pelbagai kemungkinan untuk tingkatkan kualiti permainannya. Kadang-kala beliau bermain di kanan, kadang kala bermain di kiri dan juga tengah kerana beliau boleh bermain di banyak posisi.

Saya tidak mahu beliau hanya bermain di satu posisi sahaja. Saya mahu beliau tunjukkan kepada kami yang beliau mampu mencipta banyak peluang, menjaringkan gol dan buat bantuan gol.”