Arif Aiman belum fikir berhijrah ke luar negara, mahu fokus bantu JDT cipta kejayaan di ACL

1,095

Pemain muda berpotensi besar, Arif Aiman memberitahu buat masa ini fokusnya hanya kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan belum fikir lagi untuk berhijrah ke luar negara.

Menurut Arif, beliau mempunyai misi yang besar bersama JDT musim ini iaitu mahu bantu pasukannya mara dengan lebih jauh dalam saingan AFC Champions League (ACL).


“Pasal kelab luar saya belum fikir lagi kerana sekarang fokus saya sekarang untuk JDT dahulu kerana misi saya musim ini adalah untuk bantu JDT pergi lebih jauh lagi dalam saingan ACL,” katanya.

katanya.

Terdahulu JDT telah mencipta sejarah apabila berjaya layak ke pusingan 16 ACL musim lalu selepas beberapa kali mencuba.

Arif menjadi watak utama dalam perlawanan Liga Super menentang Selangor FC malam tadi apabila beliau berjaya membantu pasukannya menang 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dalam pada itu, pemain berusia 20 tahun itu berkata beliau tiada masalah untuk mengikut kehendak ketua jurulatih Esteban Solari yang mahukan beliau bermain di beberapa posisi.

“Keputusan jurulatih memang untuk saya bermain di banyak posisi, tapi saya kena belajar dan biasakan diri bermain di beberapa posisi bagi memberi kelebihan buat saya.

Ini kerana jika saya bermain di satu posisi sahaja, susah untuk saya rebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.”

Tambahnya lagi, boleh bermain di beberapa posisi termasuk bermain di posisi penyerang akan memberi kelebihan buat dirinya.

Sementara itu, beliau turut gembira apabila sasaran untuk menang kesemua lima perlawanan awal musim ini berjaya dicapai.

JDT kini berada di puncak Liga Super selepas lima perlawanan apabila mengutip mata maksimum 15 mata.