Hafizul Hakim akui paling dibenci peminat Perak FC

3,848

Bekas penjaga gol utama Perak FC, Hafizul Hakim mengakui diri merupakan pemain paling dibenci oleh peminat Perak FC.

Menurut Hafizul, beliau menjadi pemain yang tidak disukai oleh peminat kerana kesilapan-kesilapan yang dilakukan terutamanya ketika perlawanan penting.


“Jika anda lihat di media sosial pemiant Perak, pasti anda akan tahu saya adalah pemain yang paling tidak disukai oleh peminat kerana beberapa kesilapan yang saya lakukan ketika perlawanan besar.

Antara salah satu contoh adalah ketika jaringan daripada pemain Herold Goulon (Sri Pahang). Saya memang akui tersilap membaca bola, tambahan saya tidak sangka Herold akan melakukan percubaan dari tengah padang dan saya tak sempat untuk ke belakang untuk menyelamatkan bola itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, satu lagi kesilapan yang membuatkan berasa ‘down’ adalah ketika perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC apabila beliau melepaskan gol pada minit pertama jaringan Kipré Tchétché.

“Ketika jaringan itu saya belum lagi sentuh bola. Selalunya sentuhan pertama akan beri keyakinan tetapi belum sempat saya menyentuh bola, pihak lawan berjaya menjaringkan gol. Ia sedikit sebanyak membuatkan saya ‘down’ dan hilang keyakinan diri.”

Hafizul mengambil pendekatan untuk tidak ambil pusing dengan segala kecaman dan kritikan pedas dilemparkan kepadanya kerana beliau sendiri tahu akan kesilapan yang dilakukan, tetapi beliau tetap terus berjuang untuk terus memberikan persembahan terbaik.

Disebalik kecaman daripada peminat, ramai yang tidak mengetahui pengorbanan yang dilakukan Hafizul ketika pasukan Perak berada dalam situasi kucar-kacir apabila ramai pemain utama meninggalkan pasukan di pertengahan musim.

“Selepas ramai tonggak utama meninggalkan pasukan saya juga mendapat tawaran daripada pasukan lain tetapi apabila saya memikirkan ‘apa akan jadi pada pasukan jika saya keluar’, jadi saya ambil keputusan untuk teruskan bersama pasukan sehingga habis saingan Liga Malaysia.

“Keputusan untuk kekal bersama pasukan ketika itu adalah kerana mahu cuba kekalkan pasukan dalam Liga Super, tetapi malangnya ia tidak berjaya.”

Sumber foto: hafizulhakimofficialfans

Selepas habis musim 2021, Hafizul telah menandatagani kontrak bersama pasukan Penang FC selepas penjaga gol utama mereka Sam Somerville meninggalkan pasukan itu.

Mengakui berasa janggal pada mulanya apabila menyarung jersi biru setelah sekian lama menyarung jersi kuning hitam, Hafizul tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dalam pasukan baru.

Hafizul gembira dengan pasukan barunya yang dianggap sebagai keluarga baru yang sentiasa menyokong antara satu sama lain.

Berikutan itu, Hafizul nekad mahu membantu pasukan Penang FC untuk menjadi sebuah pasukan yang mampu bersaing dengan pasukan besar lain termasuk cuba membawa pasukan itu ke perlawanan Piala FA atau Piala Malaysia pada musim hadapan.