Perjalanan karier Syihan Hazmi dibantu Megat Amir Faisal

1,587

Tanya sahaja penyokong bola sepak tanah air siapa penjaga gol No. 1 negara ketika ini, pastinya nama Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan naik kerana beliau bukan sahaja menjadi penjaga gol utama pasukan kebangsaan Malaysia tetapi juga penjaga gol utama untuk kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun kejayaan itu tidak datang bergolek kerana Syihan perlu melalui pelbagai cabaran dan dugaan termasuk mempunyai jurulatih yang hebat untuk membentuknya menjadi seorang penjaga gol terbaik negara.


Apa yang dikecapi oleh Syihan ketika ini turut disumbang oleh bekas jurulatih penjaga golnya iaitu Megat Amir Faisal Ibrahim yang ketika itu merupakan jurulatih penjaga gol untuk PJ City FC.

Amir berkata, Syihan seorang penjaga gol yang mempunyai pakej yang lengkap untuk menjadi penjaga gol terbaik.

“Bagi pendapat saya, zaman sekarang ini sukar untuk melihat penjaga gol yang mempunyai good size, yang ada ketinggian dan fizikal yang baik seperti Syihan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Karier Syihan tidak berjalan lancar seperti pemain lain kerana beliau pernah berdepan detik hitam dalam karier bola sepaknya apabila digantung selama 20 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas beliua gagal ujian ‘doping’ ketika kejohanan Piala Asia B-23 2018 di China.

Beliau berkata ketika tempoh tersebut, beliau sering bertanyakan khabar kepada Syihan dan sebaik sahaja penggantungan itu tamat, beliau terus menawarkan kontrak untuk menyarung jersi The Phoenix pada tahun 2020.

“Sebelum tempoh penggantungan beliau tamat, saya sudah hubunginya dan menawarkan tempat dalam pasukan PJ City sekiranya beliau belum mempunyai sebarang kelab.”

Prestasi cemerlangnya menyaksikan beliau berhijrah ke Negeri Sembilan FC pada musim lalu dan menyaksikan beliau mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sehingga membawa pasukan itu berada di kedudukan Top 4 walaupun baru sahaja kembali ke Liga Super.

Aksi cemerlangnya mendapat perhatian ketua jurulatih pasukan kebangsaan Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menyarung jersi negara.

Syihan tidak mengambil masa lama untuk menjadi penjaga gol utama negara sekaligus menggantikan Farizal Marlias yang sebelum ini tidak pernah mempunyai pencabar.

Bukan sahaja Syihan menggantikan Farizal sebagai penjaga gol utama untuk skuad negara sahaja, malah beliau sudah merampas tempat sebagai penjaga gol utama JDT daripada Farizal.

Dalam pada itu, Syihan bukan satu-satunya anak didik Megat Amir yang berjaya mencipta nama tetapi Kalamullah Al Hafiz dan Damiem Lim juga pernah dilatih oleh beliau.

Bukan sahaja Syihan, Kalamullah dan Damiem juga kini mencipta nama dan mendapat kepercayaan Pan-gon untuk menjadi penjaga gol skuad negara.

“Saya berasa bangga berkerja dengan Syihan, saya juga rasa bangga berkerja dengan Damiem dengan Kalamullah.”