Lee Zii Jia perlu kembali ke BAM demi Olimpik 2024

239

Pemain badminton perseorangan Malaysia, Lee Zii Jia baru-baru ini hampir memperoleh kejayaan apabila berjaya mara ke separuh akhir di kejohanan Seluruh England baru-baru ini setelah lama bergelut untuk kembali ke prestasi sebenarnya.

Bagaimanapun harapan peminat badminton negara untuk melihat Zii Jia mara dengan lebih jauh tidak kesampaian apabila beliau tumbang dan meneruskan kemarau kejuaraan setelah sekian lama dan prestasi tidak menentu ini telah menimbulkan kebimbangan ramai.


Zii Jia kini dilihat perlukan sebanyak mana bantuan yang mungkin termasuk dari Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) walaupun beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan badan induk itu pada tahun lalu.

Bekas jaguh beregu negara Tan Boon Heong percaya bahawa semua pemain badminton profesional, termasuk Zii Jia harus menyertai latihan pasukan kebangsaan secara penuh bagi memastikan program Road to Gold (RTG) berjaya.

Program RTG diperkenalkan bertujuan untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam Olimpik Paris tahun hadapan.

Selepas beliau meninggalkan BAM dan bermain secara profesional, Zii Jia hanya dibantu oleh Liew Daren sebagai jurulatih, pakar fisioterapi Sandra Fieldler, jurulatih fizikal Lim Joe Heang dan kakak beliau sendiri Lee Zii Yii sebagai pengurus.

Bagaimanapun sehingga kini percaturan yang dilakukan oleh Zii Jia untuk bergerak sendiri belum membuahkan hasil dan ia dapat dilihat menerusi prestasinya sejak bermain sebagai pemain profesional.

Beliau memerlukan seorang mentor yang lebih berpengaruh untuk membimbingnya ke Olimpik Paris 2024.

Pada November tahun lepas, BAM telah membuka pintu kepada pemain profesional dan jurulatih mereka untuk menjalani sesi latihan bersama pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Namun, ia hanya terhad kepada sesi bermain sparring sekali seminggu di mana pemain profesional boleh menyertai jika mereka mahu, bagaimanapun usaha itu dilihat masih tidak cukup jika mahu sasar pingat emas di Olimpik.

Dalam pada itu, Boon Heong yakin pemain-pemain profesional termasuk Zii Jia harus menyertai latihan bersama pasukan kebangsaan sepenuhnya untuk mamaksimumkan potensi mereka.

Beliau percaya bahawa kerjasama dan persaudaraan antara pemain profesional dan pasukan kebangsaan adalah penting untuk memperkuatkan kekuatan dan tahap pemain badminton negara.

Menteri KBS iaitu YB Hannah Yeoh juga sebelum ini memberitahu bahawa Zii Jia adalah antara prospek RTG di Olimpik Paris tahun hadapan.

Diharap BAM dan Zii Jia dapat turunkan ‘ego’ masing-masing dan kembali bekerjasama demi kebaikan negara termasuk cuba merealisasikan matlamat utama iaitu meraih pingat emas pertama negara di Olimpik.