Tan Cheng Hoe dapat sokongan dari bekas jurulatih kebangsaan

475

Disebalik kecaman dan kritikan ramai terhadap bekas ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe atas kegagalannya membawa pasukan negara melepasi peringkat kumpulan di saingan Piala AFF, namun masih ada yang menyokong.

Bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dato’ K. Rajagobal antara yang menyuarakan sokongan terhadap bekas penolongnya itu ketika mereka sama-sama mengendalikan skuad kebangsaan.


“Anda telah melakukan yang terbaik TCH. Saya tahu anda seorang yang ikhlas dan jujur dalam setiap kerja anda. Rakan sekerja yang terbaik pernah saya ada dan bertuah dapat bekerjasama dengan anda dalam karier saya.

“Tanpa TCH disisi saya, tidak mungkin saya akan merangkul pelbagai kejayaan sebagai ketua jurulatih Malaysia. Banyak lagi perkara baik yang akan datang kepada anda,” tulis K. Rajagobal di Twitter miliknya sebentar tadi.

Beliau kini merupakan ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan Brunei Darulssalam.

Sumber foto K. Rajagobal

Sepanjang karier beliau bersama Cheng Hoe, kedua-dua mereka telah berjaya mencipta pelbagai kejayaan termasuk memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 dan memenangi Piala AFF 2010 buat pertama kali dalam sejarah.

Selain K. Rajagobal, seorang lagi bekas ketua jurulatih kebangsaan dan juga, B. Sathianathan turut memberi sokongan padu kepada Cheng Hoe selain memuji kerana keberaniannya.

Sathianathan yang juga Pengerusi Persatuan Jurlatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) mengakui Cheng Hoe telah berjaya membuat perubahan drastic terhadap pasukan negara sejak mengambil alih tugas daripada Nelo Vingada pada 2017.

Dalam pada itu, Sathianathan juga berkata keputusan untuk melantik pengendali baru skuad kebangsaan bukanlah jalan penyelesaian yang tepat kerana mana-mana jurulatih yang mengambil alih tugas itu bakal berdepan kesukaran untuk bentuk sebuah pasukan terbaik.

Tambahnya lagi, jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu mengambil jurulatih dari luar pun pasti akan sukar juga memandangkan tempoh yang singkat selain pemain negara kurang berkualiti.

Sumber foto: MFL

Semalam dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita perletakan jawatan oleh Cheng Hoe selepas beliau gagal membawa pasukan kebangsaan melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Keputusan itu telah menimbulkan persoalan dikalangan peminat berikutan laporan ‘post-mortem’ masih belum dibentangkan.

Pelbagai spekulasi yang timbul susulan perletakan jawatan Cheng Hoe, namun beliau tampil menyangkal dakwaan kononnya didesak pihak tertentu untuk melepaskan jawatan sebaliknya beliau bertanggungjawab atas kegagalan pasukan kebangsaan. Cheng Hoe sudah pun bertanggungjawab.

Adakah selepas ini ada pihak lain yang akan bertanggungjawab atau kegagalan pasukan skuad kebangsaan adalah 100 peratus salah jurulatih.