E. Elavarasan puji aksi pemainnya bermain ketika berpuasa, kini sasar jadi juara Piala Merlion

598

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-22, E. Elavarasan nyata gembira dengan aksi persembahan pemain-pemainnya terutama yang beragama Islam apabila berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang walaupun bermain dalam keadaan berpuasa.

Pada perlawanan pertama menentang Kemboja B-22, pemain Harimau Muda telah mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan apabila berjaya benam pasukan kendalian Keisuke Honda 4-2, sekaligus mara ke perlawanan akhir Piala Merlion menentang Hong Kong B-22.


“Saya ingin ucap tahniah pada kesemua pemain terutamanya pemain Muslim yang mempamerkan aksi permainan yang mantap dalam tempoh 90 minit dalam keadaan berpuasa.

Apabila pasukan berjaya mara ke perlawanan akhir sudah semestinya kita mahu jadi juara, bukan mahu bermain untuk dapat tempat kedua,”

katanya.

Elavarasan juga memberitahu beliau dan barisan kejurulatihan akan membuat penilaian terhadap tahap kecergasan pemain pada sesi latihan petang ini kerana terdapat beberapa pemain yang mengalami sedikit kecederaan otot.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui sudah mempunyai bayangan untuk skuad yang akan dibawa untuk ke temasya Sukan SEA Kemboja pada bulan Mei nanti selepas perlawanan pertama, namun masih banyak yang perlu dilakukan sebelum membuat keputusan.

“Sudah tentu sudah ada bayangan. Seperti yang saya katakana, walaupun kita menang tapi masih banyak yang kita perlu perbetulkan, dan kita mempunyai untuk memperbaiki segala kelemahan untuk menjadi pasukan yang lebih baik.”

Harimau Muda akan menentang pasukan Hong Kong B-22 pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 26 Mac ini.