Kim Pan-gon banyak ubah bola sepak Hong Kong, pasukan Malaysia kini semakin meningkat – Yapp Hung Fai

1,106

Penjaga gol pasukan kebangsaan Hong Kong, Yapp Hung Fai mengakui bekas ketua jurulatih pasukan itu, Kim Pan-gon banyak mengubah bola sepak negara itu.

Beliau menyifatkan Pan-gon merupakan seorang jurulatih yang penuh dengan semangat serta pandai memberi motivasi kepada pemain, dan dalam masa yang sama seorang yang tegas.


“Kim Pan-gon adalah seorang jurulatih yang bersemangat, beliau tahu bagaimana untuk memberi motivasi kepada para pemain, beliau juga mempunyai ‘demand’ yang tinggi terhadap pemain dan sentiasa menekan pemain untuk berikan yang terbaik.

Di bawah kepimpinan beliau, kami menunjukkan peningkatan yang baik, beliau salah seorang jurulatih yang banyak mengubah bola sepak Hong Kong,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika sesi latihan menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Malaysia pada 28 Mac ini.

Sementara itu, beliau melihat tahap bola sepak Malaysia semakin meningkat sejak dua tahun kebelakangan ini, lebih-lebih lagi dengan persembahan baik Johor Darul Ta’zim (JDT) di saingan AFC Champions League (ACL).

“Saya lihat dalam tempoh dua tahun ini ada perbezaan yang positif dalam bola sepak Malaysia, terutamanya kerana persembahan baik JDT di saingan ACL.

Saya jangkakan perlawanan esok akan sukar, lebih-lebih lagi kita bermain di gelanggang lawan tetapi saya rasa kita boleh tunjukkan persembahan yang baik dan boleh dapatkan kemenangan.”

Beliau berkata pasukan Hong Kong kini sedang melalui satu perubahan di bawah ketua jurulatih, Jorn Andersen yang mengendalikan mereka sejak 2021.

Katanya, Andersen menerapkan gaya permainan yang lain berbanding jurulatih terdahulu dan sedang bersedia untuk Piala Asia Januari depan.

Tambahnya, gaya permainan yang ditunjukkan di atas padang ketika menentang Malaysia Selasa ini adalah lebih penting daripada keputusan perlawanan untuk mengukur kemampuan pasukan.