Tahap bola sepak Asia Tenggara sudah dekat dengan Asia Timur, harap pemain Hong Kong main di Liga Malaysia – Leung Nok Hang

1,397

Pemain pertahanan Hong Kong, Leung Nok Hang melihat tahap bola sepak di Asia Tenggara semakin meningkat dan sudah semakin dekat dengan Asia Timur.

Beliau berharap satu hari nanti pemain dari negara itu akan berkelana di Liga Malaysia dan ada pemain Malaysia yang akan bermain di Liga Hong Kong.


“Saya lihat tahap bola sepak Asia Tenggara semakin rapat dengan Asia Timur, bukan saja pemain tetapi jurulatih juga.

Saya harap satu hari nanti ada pemain Hong Kong yang bermain di Malaysia dan ada juga pemain Malaysia bermain di Liga Hong Kong,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau bertekad mahu menunjukkan prestasi yang cemerlang supaya terpilih ke Piala Asia Januari tahun depan.

Sebagai pemain, beliau mahu membantu pasukan semampu yang boleh pada saingan itu dan menyerahkan segala-galanya kepada ketua jurulatih.

“Saya harap saya dapat bantu pasukan, sebagai pemain apa yang saya boleh lakukan adalah fokus kepada sesi latihan dan permainan saya.

Keputusan terletak di tangan ketua jurulatih, jika beliau beri kepercayaan kepada saya pasti saya akan buat terbaik.”

Hong Kong akan menentang Malaysia untuk perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim 28 Mac ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada Jun 2022, juga untuk perlawanan persahabatan antarabangsa yang menyaksikan Malaysia menang 2-0.