Lapan tahun saya dalam bidang kejurulatihan, tak pernah dapat skuad yang sempurna – Kim Pan-gon

5,492

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon menganggap ketiadaan Arif Aiman dan Endrick dos Santos tidak memberikan masalah buat Malaysia untuk menghadapi Hong Kong pada perlawanan persahabatan esok.

Beliau berkata, sepanjang berada dalam industri ini, beliau tidak pernah mendapatkan pasukan yang sempurna dalam setiap kem kebangsaan.


“Saya dah lapan tahun sebagai jurulatih, 12 tahun jika termasuk tugasan sebagai pengurus dan dalam bidang ini saya tak pernah dapat barisan pemain yang sempurna atau yang saya mahukan tetapi saya yakin kita ada 25 pemain lain yang semuanya boleh bermain dengan baik.

Kita bermain sebagai satu pasukan dan tidak bergantung kepada satu atau dua pemain saja, saya tak rasa ketiadaan mereka akan beri kesan yang besar, kita mungkin tidak boleh menjadi pasukan yang cantik tetapi kita boleh jadi pasukan yang kuat,”

katanya.

Katanya, perkara seperti ini membuatkan beliau lebih kuat dan sentiasa cekal, selain kekal positif dalam apa saja situasi.

Tambahnya, sebagai jurulatih, beliau perlu menghadapi situasi ini dengan bijak dan tidak risau dengan ketiadaan pemain-pemain tertentu.

Endrick dan Arif terpaksa disishkan selepas ujian yang dibuat mengesahkan kedua-dua itu mengalami kecederaan.

Sementara itu, beliau memuji sikap pemain yang sering menunjukkan semangat yang tinggi dalam setiap sesi latihan.

“Saya gembira lihat para pemain, mereka mempunyai semangat tinggi dan sikap yang bagus, mereka sentiasa beri lebih daripada apa yang saya mahukan.

Kita mahu bina falsafah serta DNA bola sepak sendiri untuk pasukan Malaysia, mahu dominasi permainan sehingga memaksa pihak lawan lakukan kesilapan.”

Beliau menjangkakan perlawanan menentang Hong Kong esok akan menjadi satu perlawanan yang sengit buat anak-anak buahnya.

Jelasnya, Hong Kong telah menunjukkan peningkatan yang baik tetapi sudah bersedia untuk menumpaskan lawannya itu.