Tan Cheng Hoe letak jawatan, Skuad Indonesia ambil peluang?

215

PSSI dalam perancangan mengatur beberapa perlawanan persahabatan bersama pasukan Asia

Perletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan rantau bola sepak Asean. Hal ini demikian, memetik artikel yang diterbitkan oleh sebuah media Indonesia yang telah menjangkakan kedudukan Tan Cheng Hoe bakal terancam setelah tewas di tangan Indonesia dengan jaringan 1-4 dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki Cup 2020.


Skuad negara yang sebelumnya gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan menentang Vietnam dengan skor 0-3 membuatkan mereka gagal melayakkan diri ke separuh akhir dengan hanya mengutip 6 mata secara keseluruhan dan sekadar berpuas hati di tangga ketiga peringkat kumpulan. Jangkaan mengenai kedudukan Tan Cheng Hoe akhirnya terjawab apabila beliau sendiri meletakkan jawatan secara sukarela tanpa desakan dari mana-mana pihak. Hal ini pastinya mengundang kebimbangan penyokong bola sepak tempatan. 

Tetapi berbeza pula dengan pasukan seteru utama Malaysia, iaitu Sang Garuda yang ketika ini sedang giat merancang perlawanan persahabatan dengan beberapa negara Asia bagi memperbaiki ranking mereka dan persedian menjelang Kelayakan Piala Asia 2023. Mereka mengambil peluang untuk terus mendahului skuad negara yang dianggap ‘musuh tradisi’.

Kredit Foto : Facebook AFF Suzuki Cup

Di kala bola sepak negara dilanda kegusaran setelah perletakan jawatan Tan Cheng Hoe yang akan menjejaskan perancangan persediaan bagi menghadapi beberapa perlawanan besar termasuklah Kelayakan Piala Asia 2023, sekali lagi pasukan Garuda berada setapak di depan dengan bertindak pantas merancang strategi bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam pot undian Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung Februari nanti.

Sehingga saat ini, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dikatakan telah merancang perlawanan persahabatan dan telah mendapat beberapa tawaran dari pasukan Tajikistan, Brunei Darussalam dan Bangladesh. Untuk memperbaiki ranking, PSSI sebaiknya mempertimbangkan tawaran dari Tajikistan kerana mereka berada di kedudukan ranking yang lebih baik berbanding pasukan lain yang menawarkan diri. 

Mengakui kekurangan di bahagian serangan, pengendali skuad Garuda yang berasal dari Korea Selatan iaitu Shin Tae-Yong sedar masih banyak yang mereka perlu perbaiki. Pasukan Indonesia yang kebanyakannya dibarisi oleh pemain muda perlu lebih digilap lagi bagi menyerlahkan potensi mereka dengan mendedahkan mereka dengan perlawanan persahabatan berkelas A. Ini baru permulaan untuk Shin Tae-Yong kerana penyokong bola sepak Indonesia pastinya mengharapkan sesuatu yang lebih besar dari kejuaraan Asean.