Tunggakan gaji Sarawak United masih tak selesai, PFAM perlu terus tekan habis-habisan pihak kelab

129

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) memberitahu bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan masalah gaji yang melanda pasukan Liga Malaysia pada musim ini walaupun ada khabar angin yang mengatakan sudah ada pasukan yang mengalami masalah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, pihaknya hanya bertindak sekiranya terdapat laporan rasmi daripada pengadu.


Walaubagaimanapun, umum mengetahui bahawa isu tunggakan gaji yang melanda pasukan Sarawak United masih lagi belum menemui jalan penyelesaian sejak daripada musim lalu lagi.

Walaupun pada musim ini pasukan itu telah ‘jatuh pangkat’ ke Liga M3, masih ramai pemain yang tidak menerima gaji mereka selama beberapa bulan.

Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Amateur (AFL), Mohd Raimi Fakri berkata bahawa tindakan atau hukuman kepada kelab itu hanya akan diputuskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan setakat ini mereka dikenakan sekatan daripada mendaftarkan pemain baharu.

Sebelum ini juga, Izham pernah berkata bahawa pihaknya sedang merancang untuk membawa kes Sarawak United serta Melaka United ke mahkamah sivil selepas keputusan daripada Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 6 April ini.

Perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak PFAM kerana isu ini telah berlanjutan daripada musim lalu lagi dan sehingga kini masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Mungkin untuk musim ini tiada laporan baharu mengenai masalah gaji, tetapi isu yang sudah berlanjutan daripada musim lalu ini perlulah diberi perhatian yang khusus.

Selagi isu ini masih tidak selesai, PFAM sebagai badan yang memperjuangkan hak para pemain bola sepak di negara ini tidak boleh duduk diam dan terus menekan kelab terbabit sehinggalah mereka menyelesaikan segala tunggakan atau dikenakan denda.

Ini agar dapat menjadi pengajaran kepada pasukan-pasukan lain supaya tidak ada lagi yang berani mengambil mudah terhadap pembayaran gaji pemain.