FAM terus buang masa, lupakan saja apa-apa target untuk skuad kebangsaan

198

Angan-angan penyokong bola sepak Malaysia untuk melihat penambahbaikan dalam pasukan kebangsaan dalam masa terdekat nampaknya masih tidak akan kesampaian.

Berikutan melihat sikap FAM yang berlengah-lengah membuat pemilihan pengganti ketua jurulatih sedangkan beberapa kejohanan penting iaitu Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 dijadualkan berlangsung dalam beberapa bulan sahaja lagi.


Fans sudah terlalu lama bersabar dan mula bosan dengan perkara yang sama berulang-ulang. FAM seolah-olah sengaja ‘memekakkan telinga’ dengan kritikan dan pandangan pencinta bola sepak tanah air yang menuntut perubahan terhadap tampuk kepimpinan FAM itu. Sukan nombor satu negara itu dianggap sering menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu.

Penyokong bola sepak tempatan turut menyelar tindakan FAM yang dianggap mengambinghitamkan Tan Cheng Hoe sebagai satu-satunya individu yang patut disalahkan berikutan kegagalan skuad kebangsaan pada Piala AFF 2020 yang lalu. Sikap FAM itu diumpamakan seperti ‘baling batu sembunyi tangan’ mengundang kemarahan penyokong.

Kebanyakan penyokong merasakan bahawa perletakan jawatan Cheng Hoe adalah tidak patut, malah berpendapat bahawa Cheng Hoe adalah salah seorang jurulatih terbaik yang pernah membimbing Harimau Malaya. Wujud banyak dakwaan dan persoalan mungkinkah ada ‘tangan-tangan ghaib’ di sebalik kemerosotan prestasi jurulatih kelahiran Kedah itu?

Kebosanan penyokong dengan tindak-tanduk FAM semakin jelas apabila badan induk itu acapkali hanya meletakkan sasaran Piala AFF sebagai target terjauh dan cepat merasa berpuas hati dengan pencapaian itu walaupun kali terakhir kita memenangi gelaran tersebut pada 2010. Ramai berpendapat bahawa barisan kepimpinan FAM seharusnya diterajui orang yang benar-benar faham dan mempunyai ‘passion’ mengenai bola sepak.

Kecemerlangan skuad kebangsaan bergantung pada keupayaan badan pengurusan yang berkaliber. Mungkin ada yang akan menimbulkan soal prestasi para pemain, kita harus merujuk semula pada ekosistem liga yang kita ada ketika ini. Adakah cukup kompetitif untuk benar-benar menyerlahkan bakat pemain tempatan? Soalan ini seharusnya diajukan kepada badan induk terbabit.

Justeru itu, fans mendesak agar FAM segera membentangkan ‘post-mortem’ bagi mengenalpasti kepincangan yang dihadapi skuad negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Analisis prestasi perlu dilakukan dengan jujur dan telus jika FAM benar-benar serius ingin mengubah tanggapan penyokong terhadap mereka.

Apa yang boleh disimpulkan, buat masa ini fans terpaksa menerima kenyataan dan berhenti meletakkan harapan bahawa Harimau Malaya akan layak ke peringkat yang lebih tinggi selagi FAM masih tidak serius menanggapi bahawa pengurusan yang baik, pembangunan pemain dan pihak penganjur liga yang telus diperlukan untuk menjamin masa depan liga dan bola sepak kita menjadi lebih baik.