FAM tidak akan dapat jurulatih terbaik sampai bila-bila

212

Mungkin agak keras kenyataan ini, tetapi itulah kebenaran yang harus ditelan oleh semua terutamanya peminat bola sepak tanah air sekiranya tiada perubahan drastik berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas kegagalan pasukan Malaysia di saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe telah mengambil sepenuh tanggungjawab atas kegagalan skuad Harimau Malaya.


Keputusan untuk memecat atau mengekalkan Cheng Hoe sepatutnya berlaku selepas selesai pembentangan laporan ‘post-mortem’, bagaimanapun belum sempat laporan itu dibentang Cheng Hoe ambil keputusan letak jawatan.

Rata-rata peminat menyifatkan tindakan Cheng Hoe sebagai ‘gentleman’ kerana mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pasukan negara, pada masa sama peminat mendesak pihak pengurusan tertinggi FAM turut bertanggungjawab.

Sumber foto: FAM Facebook

Baru sehari Cheng Hoe meletak jawatan, FAM dilaporkan akan mengumumkan perlantikan ketua jurulatih baru Harimau Malaya selewat-lewatnya Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar yang turut mendedahkan pihak FAM sudah menerima beberapa permohonan untuk mengisi jawatan ‘panas’ itu.

Pemilihan ketua jurulatih yang baru akan diteliti dan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang dijadualkan pada bulan tersebut.

Kenyataan terbaru oleh Saifuddin ini tidak mengejutkan peminat bola sepak tanah air langsung kerana sudah masak dengan ‘perangai’ FAM.

Bagaimanapun kini peminat mula tertanya-tanya siapakah ‘mangsa’ seterusnya? Adakah pasukan kebangsaan akan mendapat jurulatih dari luar negara atau jurulatih tempatan? Adakah beliau mampu bawa pasukan kebangsaan mengecapi kejayaan atau seorang lagi jurulatih ‘yes sir’.

Bukan peminat sahaja yang menghentam FAM, tetapi bekas pengarah teknikal FAM sendiri iaitu Peter De Roo turut melontarkan komen pedas kepada bekas majikan yang berkata kelemahan organisasi FAM itu sendiri menjadi punca kepada kegagalan pasukan negara.

Pengganti baru Cheng Hoe akan berdepan kesukaran yang sama sekiranya masih ada campur tangan dari ‘tangan ghaib’ yang sering menganggu tugasan ketua jurulatih dalam membentuk dan membina pasukan yang ampuh.

Bagaimanapun peminat dapat merasakan bahawa FAM akan melantik seorang jurulatih yang mampu akan ‘ikut telunjuk’ pihak atasan dan bukannya jurulatih seperti Bojan Hodak.

Ini kerana sejak perletakan jawatan Cheng Hoe, nama jurulatih KL City FC itu disebut-sebut bakal menggendalikan skuad kebangsaan selepas beliau berjaya menamatkan kemarau piala 32 tahun apabila pasukan itu berjaya menjadi juara Piala Malaysia baru-baru ini.

Pemilihan Bojan sebagai ketua jurulatih dilihat tidak akan berlaku kerana beliau telah meletakkan beberapa syarat yang sudah semestinya tidak menyenangkan pihak FAM seperti tiada pihak yang mengganggu kerjanya dan beberapa lagi.

Sumber foto: FAM Facebook

Syarat yang diletakkan Bojan sudah pasti tidak akan menyenangkan pihak pengurusan tertinggi FAM, maka peluang untuk beliau dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya sangat tipis.

Terdahulu Bojan pernah dilantik sebagai ketua jurulatih untuk pasukan Malaysia B-19 tahu dari tahun 2017 hingga 2019 selepas kontraknya tidak disambung.

Terdapat laporan yang mengatakan tindakan FAM tidak menyambung kontrak Bojan adalah kerana beliau mengkritik system pembangunan akar umbi bola sepak negara. Bagaimanapun FAM tampil menyangkal dakwaan tersebut.

Ketika Bojan melatih skuad B-19 negara, beliau telah berjaya membawa Malaysia muncul sebagai juara Piala AFF B-19 buat pertama kali dalam sejarah.

Persoalannya kini, siapakah bakal menjadi ketua jurulatih skuad Malaysia yang baru? Sama-sama kita tunggu kejutan dari FAM.