Pindah ke S.V. Zulte Waregem bakal beri Dion Cools lebih peluang untuk beraksi

227

Pemain pertahanan Malaysia dan FC Midtjylland, Dion Cools telah disahkan akan menyertai pasukan juara dua kali Piala Belgium, S.V. Zulten Waregem sebagai pinjaman.

Cools kembali ke Liga Pro Jupiler apabila sebelum ini beliau pernah bermain di liga berpengkalan di Belgium bersama pasukan Club Brugge dari 2015 hingga 2020 sebelum berpindah ke liga Denmark.


Sejak menyertai Midtjylland, Cools telah membuat sebanyak 38 penampilan termasuk menjaringkan satu gol.

Sumber foto: Esseveeofficial

Pengurus Zulte Waregem, Eddy Cordier berkata kehadiran pemain berusia 25 tahun itu akan memperkuatkan jentera pertahanan dan serangan pasukan.

Dalam pada itu, Cools menerusi satu kenyataannya berkata kemasukkannya ke Zulte Waregem atau lebih dikenali dengan panggilan Essevee akan membuka peluang untuknya kembali beraksi cemerlang di pentas Eropah dan yang paling penting mendapat peluang untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Saya melihat diri saya sebagai pertahanan kanan moden yang gemar membantu pasukan dalam pertahanan dan serangan,”

ujarnya.
Sumber foto: Dion Cools Instagram

Tambah Cools lagi, Essevee adalah sebuah kelab kontemporari dan mesra. Walaupun keputusan merosot bulan lalu, tetapi tetap berusaha untuk mencapai cita-cita dan beliau berharap dapat menjadi sebahagian daripada itu.

Cools akan beraksi bersama Essevee sehingga penghujung musim iaitu pada bulan Jun depan.

Jika melihat dari rekod semasa, pasukan Essevee kini bergelut apabila berada pada kedudukan tercorot dalam Liga Pro Jupiler Belgium Divisyen 1.

Sebelum ini Cools pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan Belgium B-18, B-19 dan B-21 dengan membuat 28 penampilan dan menjaringkan enam gol.

Sumber foto: Dion Cools Instagram

Cools bagaimanapun kemudian telah menyatakan minatnya untuk menyertai skuad negara kelahirannya Malaysia untuk peringkat senior.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengambil maklum hasrat Cools itu telah membuat proses penukaran status pasukan negara pemain itu dari Belgium ke Malaysia.

Urusan tersebut berjalan dengan lancar berikutan Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya kerana menepati syarat utama iaitu beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

Sejak bergelar pemain kebangsaa, Cools telah membuat penampilan empat penampilan bersama skuad negara iaitu tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia dan satu perlawanan di Piala AFF 2020 baru-baru ini.

Biarpun skuad negara tersingkir di peringkat kumpulan, namun persembahan Cools mendapat pujian daripada peminat walaupun mempunyai masa yang sangat singkat untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan lain.