Jadual Sukan SEA tidak ‘clash’ dengan liga, jadi tiada masalah Selangor lepaskan pemain di luar kalendar FIFA – Dr Johan Kamal

867

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan kelab itu tiada masalah melepaskan pemain untuk ke Sukan SEA Kemboja walaupun bukan dalam kalendar FIFA.

Beliau berkata bahawa ia adalah kerana ketika kejohanan itu berlangsung, liga sedang berehat jadi tiada sebab untuk pihak kelab enggan melepaskan pemain.


“Sukan SEA tahun ini tidak berselisih dengan jadual liga jadi kita tidak nampak sebab untuk tidak beri peluang kepada pemain untuk pergi.

Kita juga menyokong dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyumbang terhadap agenda pasukan kebangsaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Johan menganggap ia adalah satu pendedahan yang baik buat para pemain mendapatkan pengalaman bermain di luar negara.

Beliau juga berbangga apabila seramai tujuh orang pemain Selangor dipilih untuk mewakili Malaysia ke temasya tersebut.

“Kita sendiri rasa bangga apabila pemain Selangor dapat mewakili negara untuk kejohanan di luar negara.

Saya rasa ini adalah satu pendedahan yang baik kerana rata-rata pemain kami ramai yang muda, jadi kita lihat ini sebagai peluang untuk mereka mendapatkan pengalaman tambahan.”

Pemain daripada Selangor merupakan yang terbanyak yang dipilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA Kemboja Mei ini.

Mereka adalah Syahir Bashah, Aliff Izwan Yuslan, Ruventhiran, Fakrul Fareez, Harith Haiqal, Ahmad Zikri Khalili dan Mukhairi Ajmal.