Saingan Liga M3 untuk zon Borneo harus diwujudkan

112

Saingan Liga M3 musim ini menyaksikan format dua kumpulan yang diguna pakai musim lalu dimansuhkan pada musim ini, dengan semua 14 pasukan bertanding dalam satu kumpulan yang sama.

Daripada kesemua 14 pasukan yang bertanding, hanya satu pasukan yang mewakili wilayah Borneo iaitu pasukan Sarawak United FC yang terpaksa beraksi di saingan Liga M3 selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan daripada Malaysian Football League (MFL) untuk beraksi dalam Liga Super.


Musim lalu, Kinabalu Jaguar menjadi satu-satunya wakil daripada Borneo yang beraksi dalam saingan divisyen ketiga negara itu.

Dari segi kemeriahan serta pembangunan arena bola sepak negara, ia sebenarnya adalah perkara yang menyedihkan kerana hanya ada satu wakil sahaja daripada wilayah itu walaupun keluasannya jauh lebih besar daripada kawasan Semenanjung Malaysia.

Dalam saingan Liga Super pula, hanya dua pasukan dari Borneo yang bertanding pada musim ini iaitu Sabah FC dan Kuching City FC, menjadikan hanya tiga pasukan dari wilayah itu yang beraksi dalam dua liga bola sepak tertinggi negara.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, populasi bagi ketiga-tiga kawasan di Borneo iaitu di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan hampir mencapai 6 juta penduduk.

Namun dengan hanya tiga pasukan yang beraksi dalam dua saingan liga tertinggi negara, bayangkan berapa ramai bakat yang tidak mampu menyinar disebabkan tiada peluang untuk mereka beraksi.

Sekiranya lebih banyak pasukan yang wujud di Borneo, pastinya kita akan dapat melihat lebih ramai pemain-pemain hebat yang berasal daripada Sabah, Sarawak atau Labuan mewarnai arena bola sepak negara.

Namun, antara perkara yang menjadi masalah buat pasukan-pasukan dari Borneo untuk bersaing dalam saingan liga adalah kerana perbelanjaan besar yang terpaksa dikeluarkan dari segi lojistik, termasuklah pengangkutan dan penginapan apabila perlawanan away di Semenanjung Malaysia.

Secara kasarnya, purata bajet bagi kelab-kelab yang bersaing dalam Liga M3 adalah kira-kira RM500,000 semusim sahaja.

Sedangkan kelab-kelab besar dari Borneo seperti Sabah yang mempunyai bajet yang lebih tinggi juga menganggap perbelanjaan untuk lojistik pasukan itu satu beban kewangan, apatah lagi kelab-kelab Liga M3 yang mempunyai bajet yang jauh lebih kecil.

Justeru, ia menjadi salah satu punca banyak kelab-kelab kecil daripada Borneo tidak berminat untuk bersaing dalam saingan Liga M3.

Adalah baik sekiranya saingan Liga M3 bagi zon Borneo diwujudkan untuk memberi peluang kepada lebih banyak kelab sertai.

Jika penganjur Liga M3, Amateur Football League (AFL) mewujudkan saingan Liga M3 khusus untuk zon Borneo, kemungkinan besar lebih banyak kelab dari wilayah itu berminat untuk sertai.

AFL boleh mempertimbangkan untuk mengembalikan format dua kumpulan seperti musim lalu, tetapi membahagikan kedua-dua kumpulan itu kepada zon Semenanjung dan zon Borneo.

Keempat-empat pasukan teratas daripada kedua-dua kumpulan kemudian mara ke pusingan kalah mati, seperti format berkenaan.

Dengan penyertaan lebih banyak kelab daripada Borneo, ia akan memeriahkan lagi saingan bola sepak tempatan daripada peringkat amateur dan semi-profesional, seterusnya dapat mengetengahkan lebih ramai bakat-bakat baru untuk bola sepak negara.

Mungkin AFL boleh menagmbil contoh sistem bola sepak Indonesia di mana liga divisyen keduanya, Liga 2, dibahagikan kepada tiga zon disebabkan keluasan negara itu yang amat besar, dan terbahagi kepada beberapa kepulauan.

Saingan Liga 2 dibahagikan kepada Zon Barat (9 pasukan), Zon Tengah (10 pasukan) dan Zon Timur (9 pasukan), di mana dua pasukan teratas setiap zon akan layak ke pusingan seterusnya.

Jika saingan Liga M3 diteruskan dengan format sedia ada, mungkin penyertaan pasukan daripada Borneo akan kekal sedikit musim demi musim, atau lebih parah lagi tiada langsung.

Ini akan memberi kesan buruk kepada pembangunan bola sepak di Borneo dan mensia-siakan bakat-bakat yang ada di wilayah tersebut.