Ketua Menteri Melaka automatik jadi Presiden MAFA, tiada demokrasi serta sukarkan politik berpecah dari sukan

151

Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menerima kehadiran presiden baharu baru-baru ini selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof diumumkan sebagai presiden bagi menggantikan Datuk Wira Nur Azmi Ahmad.

Pelantikan itu berlaku secara automatik kerana MAFA dalam kenyataannya berkata bahawa mengikut perlembagaan persatuan itu, lantikan Ketua Menteri Melaka yang baru secara automatik akan menyandang jawatan Presiden MAFA.


MAFA berkata bahawa perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA di Wisma MAFA yang dipengerusikan Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Pelantikan itu sebenarnya agak janggal kerana secara kebiasaan, jawatan presiden badan bola sepak akan dipertandingkan dalam mesyuarat agung.

Adakah ia patut dimansuhkan kerana ia ibarat tidak membuka peluang kepada demokrasi dalam persatuan bola sepak itu sendiri dan hanya memastikan ahli politik terus berkuasa dalam badan bola sepak.

Lagipun, Menteri Besar tiada kena mengena dengan sukan, justeru terdapat kebarangkalian mereka yang dilantik tidak mempunyai pengetahuan langsung tentang bola sepak.

Tidak salah sekiranya Menteri Besar dilantik sebagai presiden badan bola sepak, tetapi biarlah melalui satu pemilihan yang adil.

Patutkah MAFA meneliti semula kandungan perlembagaannya itu supaya membuka peluang kepada ramai individu yang mempunyai ilmu tentang bola sepak untuk menjadi presiden walaupun tidak terlibat dalam politik?

Ini juga bercanggah dengan harapan peminat sukan di seluruh negara, terutama bola sepak, yang mahu politik dan sukan dipisahkan.

Walau apa pun, dengan kepimpinan baharu Ab Rauf bersama-sama timbalannya, Mohd Yusoff Mahadi, ia diharapkan mampu memberi sinar baharu buat bola sepak Melaka yang kini sedang berada di zaman gelap akibat masalah kewangan dan tunggakan gaji yang dihadapi pasukan Melaka United FC.

Pastinya pemain-pemain yang masih lagi terkesan dengan isu tunggakan gaji itu mengharapkan supaya nasib mereka akan lebih baik.

Sudah hampir setahun masalah itu tidak menemui jalan penyelesaian dan pihak yang terlibat asyik menuding jari kepada pihak yang lain, dan akhirnya para pemain yang menanggung perit.