Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian! Itulah yang cuba dilakukan oleh LTK bersama Perak FC

965

Sejak XOX Berhad mengambil alih pasukan Perak FC yang hampir terkubur tahun lalu dek masalah kewangan, pasukan itu kini berada di landasan tepat untuk kembali ke zaman kegemilangannya.

Pengurusan baru mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk memastikan kelangsungan kelab dan tidak mengambil jalan pintas dengan berbelanja besar untuk mencapai kejayaan dalam tempoh yang singkat.


Bagi memastikan visi dan misi mereka berjaya, Perak telah melantik bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) iaitu Datuk Lim Teong Kim (LTK) untuk membina semula pasukan itu dari bawah.

Beliau dibantu oleh beberapa lagenda bola sepak negeri itu termasuk daripada Ahmad Shahrul Azhar dan V. Saravanan yang sanggup meninggalkan kelab yang dikendalikannya di Finland untuk berbakti bersama kelab kesayangannya.

Ini membuktikan bahawa mereka kini memang serius dalam membangunkan semula bola sepak untuk memastikan The Bos Gaurus kembali menjadi gergasi bola sepak di Malaysia.

Teong Kim dalam satu kenyataan kepada media berkata; ‘Saya tidak pernah berasa takut untuk gagal dalam jangka masa singkat asalkan pemain-pemain muda di bawah jagaan saya mendapat kebaikan dan manfaat daripada peluang beraksi dalam Liga Super yang saya berikan mereka.’

Kata-kata ini nyata beliau berpegang pada pepatah ‘bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’ yang mana beliau enggan cari jalan pintas untuk peroleh kejayaan, sebaliknya mahu bina kejayaan dari bawah supaya ia dapat terus kekal.

Tidak dapat dinafikan ketika ini ada segelintir peminat Perak yang mula menyuarakan kebimbangan mereka terhadap prestasi pasukan yang tidak konsisten dalam saingan Liga Super musim ini.

Selepas 10 perlawanan, Perak telah berjaya memperoleh dua kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan untuk berada di kedudukan ke-11 liga.

Pasukan itu yang beraksi di liga tertinggi boleh dikatakan satu-satunya pasukan yang membariskan ramai pemain muda tempatan dalam setiap perlawanan.

Walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka, namun aksi pemain-pemain muda ini dapat pujian daripada ramai kerana mereka mampu memberi saingan kepada pasukan yang mempunyai ramai pemain import.

‘Trust the process’! Peminat patut beri sokonga penuh pada visi dan misi ketua jurulatih dan kelab kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan untuk kebaikan kelab.

Ya peminat juga ada hak untuk bersuara kerana mereka adalah ‘komponen’ penting dalam kejayaan sesebuah kelab dengan sokongan mereka.

Apa yang dilakukan oleh Teong Kim ketika ini juga sebenarnya membantu pemain-pemain tempatan yang sebelum ini kurang mendapat minit permainan kerana majoriti kelab lebih mengutamakan pemain import dan pengalaman kerana mahukan keputusan positif dalam setiap perlawanan.

Namun tanpa menyedarinya, tindakan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pemain-pemain tempatan dan pada masa sama ia memberi impak cukup besar buat negara apabila tiba masa pemain-pemain yang dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya tidak mempunyai minit permainan yang cukup.

Biarpun ada yang kurang bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Teong Kim dan kelab ketika ini, namun mereka perlu berfikiran lebih terbuka dan melihat perkara ini untuk jangka masa yang panjang.

Kejayaan tidak datang bergolek kerana ia perlukan kerja yang keras. Oleh itu, sokongan penuh harus terus diberikan kepada Teong Kim untuk membentuk skuad yang lebih mantap.

Jika pengurusan terus percaya dengan beliau, hasil dari usaha yang dilakukan kini dapat akan akan ‘dituai’ dalam tempoh dua atau tiga musim lagi.