Saya tak jangka saingan di Liga M3 sehebat ini, ia ada standard yang tersendiri – P Maniam

76

Ketua jurulatih Harini FT, P Maniam tidak menjangkakan saingan yang begitu hebat dalam saingan Liga M3 dan mengakui tidak mudah untuk bermain di liga tersebut.

Beliau berkata bahawa Liga M3 mempunyai standardnya tersendiri dan dipenuhi dengan ramai pemain yang bagus.


“Dulu saya rasa kita senang untuk dapatkan mata tetapi sekarang pasukan Liga M3 begitu kuat dan mereka bermain dengan berdisiplin.

Bukan mudah nak bermain di Liga M3, saya rasa liga ini ada standard tersendiri, dan pemain-pemain akan pergi jauh,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas tamat perlawanan menentang pasukan Armed Force FC sebentar tadi yang menyaksikan pasukannya berjaya menundukkan lawan dengan jaringan 2-1.

Beliau berkata, walaupun pasukannya mempunyai ramai pemain berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha, Hafizul Hakim dan Khyril Muhaimeen, ia tidak menjadi satu kelebihan buat pasukannya.

Katanya, tahap pemain adalah sama dan persaingan di Liga M3 adalah terbuka untuk semua pasukan.

Sementara itu, pemain tengah, Fikri Shah bersyukur dengan kehadiran pemain berpengalaman dalam pasukan itu kerana dapat mempelajari banyak perkara daripada mereka.

“Memang ada perasaan gementar apabila bermain dengan mereka tetapi saya dapat belajar banyak ilmu daripada mereka.

Jadi saya ambil peluang ini untuk belajar banyak perkara daripada pemain-pemain tersebut.”

Fikri berharap dapat bermain di Liga Super pada musim depan, dan mahu memperbaiki tahap permainannya untuk mencapai tahap itu.