Tahap Liga M3 tak jauh beza dengan Liga Super – Hafizul Hakim

386

Penjaga gol Harini FT, Hafizul Hakim menganggap tahap permainan di Liga M3 tidak jauh berbeza dengan saingan Liga Super.

Beliau tidak menyangka saingan di Liga M3 cukup sukar dan apa yang membezakan kedua-dua saingan liga itu adalah kehadiran pemain import.


“Saya rasa tahap Liga M3 memang tak jauh beza dengan Liga Super, mungkin yang membezakan adalah pemain import tetapi dari segi permainan memang cukup sukar.

Bagi saya saingan di Liga M3 ini memang terbuka, banyak juga pasukan lain seperti PIB FC, Melaka FC dan Imigresen FC yang mempunyai pemain berpengalaman yang pernah beraksi di Liga Super,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Armed Force FC sebentar tadi.

Tambahnya, semua pasukan mempunyai kekuatan yang hampir sama dan konsistensi adalah kunci untuk menjadi juara Liga M3.

Beliau mengakui masih belum berpuas hati dengan permainan mereka kerana masih melakukan kesilapan, dan berharap perkara itu dapat diperbaiki dengan segera.

Sementara itu, pemain tengah, Nasir Basharudin menganggap kehadiran pemain-pemain berpengalaman seperti Khyril Muhaimeen dan Norshahrul Idlan Talaha memberi sedikit kelebihan buat pasukan itu dalam menghadapi saingan liga.

“Bagi saya itu adalah satu kelebihan buat pasukan kami kerana pengalaman mereka dapat membantu pasukan terutamanya pemain-pemain muda.

Tetapi bagi saya tiada istilah bintang di Liga M3 ini, siapa yang bekerja keras keputusan akan berpihak kepadanya.”

Beliau berpendapat bahawa saingan Liga M3 kini lebih kompetitif dengan semakin ramai pemain berkualiti yang ada.