Sasaran minimum Armed Forces FC adalah kedudukan empat teratas Liga M3 – Boon Aik Hau

182

Pembantu jurulatih Armed Forces FC, Boon Aik Hau menyasarkan pasukan itu untuk menduduki tangga empat teratas saingan Liga M3 pada musim ini.

Beliau berkata bahawa secara peribadi, sasaran utama adalah untuk membawa pasukan layak ke Liga Super tetapi mengakui ia satu cabaran.


“Memang secara peribadinya kita mahu layak ke Liga Super tetapi jika dilihat pasukan lain juga, banyak perkara yang kita tak boleh bandingkan, jadi mungkin minimum empat teratas liga.

Kita perlu kekalkan apa yang kita biasa buat, jika dilihat dari musim lalu hingga sekarang tak banyak berubah dari segi pemain cuma musim ini kita lakukan persediaan lebih berdasarkan pihak lawan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aik Hau berkata demikian selepas pasukannya tewas 2-1 kepada Harini FT dalam saingan Liga M3 sebentar tadi.

Beliau mengakui pasukannya mempunyai masalah untuk menyudahkan peluang dan pemain perlu memperbaiki perkara itu.

Dalam pada itu, ketua pasukan, Venice Elphi enggap mengangkat bendera putih walaupun pasukannya masih belum mencatatkan sebarang kemenangan pada musim ini, tiga seri satu tewas daripada empat perlawanan.

Katanya, saingan masih awal lagi dan jika ada rezeki, tidak mustahil mereka mampu menjadi juara Liga M3.

“Siapa tahu dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku, walaupun kami dah seri tiga dan tewas satu, mata masih tidak jauh dengan pasukan atas.

Kalau kita nak jadi juara kita kena berjuang habis-habisan dan beri saingan kepada pasukan-pasukan teratas.”

Venice berkata, walaupun hampir mencecah usia 39, beliau masih tidak berfikir untuk menggantung but kerana merasakan dirinya masih boleh bermain.

Tambahnya, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia masih mampu bermain secara kompetitif pada usia tersebut dan menganggap ia adalah rezeki buatnya.