Garuda terus mengganas, ‘sambar’ empat nama besar dari Eropah!

26,002

Nampaknya skuad kebangsaan Indonesia tidak membuang masa melayan kekecewaan di Piala AFF 2020 yang lalu, sebaliknya ‘ganas’ mengorak langkah apabila dikhabarkan membawa empat orang ‘big name’, termasuk Jordi Amat .

Tiga daripadanya adalah pemain yang berdarah campuran Belanda-Indonesia iaitu Mees Hilgers yang bermain di posisi bek tengah beraksi bersama kelab Twente Enschede FC (Belanda), Ragnar Oratmangoen pula merupakan seorang pemain sayap kanan di Go Ahead Eagles (Belanda), dan Sandy Walsh yang bermain bersama KV Mechelen (Belgium) di posisi bek kanan. Manakala Amat pula berasal dari Sepanyol, mempunyai darah Indonesia dari neneknya. Beliau merupakan bek tengah di kelab K.A.S. Eupen (Belgium) dan pernah bermain dengan kelab Inggeris, Swansea City.


Hilgers yang beraksi dalam 20 perlawanan, menghasilkan 1 gol dan 1 assist,  Oratmangoen yang bermain 18 perlawanan dan belum menjaringkan sebarang gol tetapi membuat 2 assist musim ini. Walsh pula tampil cemerlang dengan 20 penampilan dengan 2 gol dan 5 assist setakat ini. Amat pula beraksi di 20 perlawanan, belum menghasilkan sebarang gol ataupun assist.

Dengan kehadiran empat pemain bintang ini, Indonesia dilihat mempunyai peluang cerah untuk setidak-tidaknya pergi lebih jauh dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2023 dan mungkin Kelayakan Piala Dunia 2022. Indonesia yang mengakui mereka ketandusan pemain di bahagian serangan, kini boleh berharap dengan kehadiran Oratmangoen yang dianggap sebagai pemain ‘versatile’ yang boleh bermain di posisi penyerang mahupun pemain sayap.

Nama yang paling besar di antara empat pemain ini, Amat, merupakan tonggak utama Swansea City ketika kelab itu beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris dari 2013 sehingga 2017.

Pemain yang berusia 29 tahun ini merupakan produk akademi Kelab Espanyol dari tahun 2009 sehingga 2012. Setelah empat tahun bersama Espanyol, Amat telah diturunkan sebanyak 61 perlawanan.

Pada tahun berikutnya, dia dibeli oleh Swansea City dengan nilai perpindahan sebanyak RM14 juta. Bersama Swansea dia bermain sebanyak 73 penampilan selama lima musim bersama kelab Inggeris tersebut.

Bersama Eupen, Amat berjaya membuat 78 penampilan setakat ini serta berjaya menyumbang dua gol.

Selain itu, Amat juga pernah mewakili pasukan Sepanyol untuk skuad bawah 19 tahun dan skuad bawah 21 tahun.

Mungkin saja Indonesia tidak mahu terlalu berangan-angan tinggi kerana pasukan mereka yang dibarisi banyak pemain muda yang masih belum berpengalaman luas dan didedahkan dengan pentas antarabangsa, namun ini memberi kelebihan kepada skuad Garuda untuk meraih gelaran ‘Gergasi Asia Tenggara’ dalam tempoh 2-3 tahun akan datang. 

Ini disuarakan sendiri oleh seorang penyokong Timnas Indonesia yang ingin dikenali sebagai Almudzki.

“Menurut saya, dalam waktu singkat ini sepertinya kami harus berfikiran logika, memenangi Piala AFF juga sudah memadai. Dalam jangka panjang mungkin boleh menjangkakan untuk pergi lebih jauh dengan melayakkan diri ke Piala Asia 2023 itupun bergantung kepada prestasi team, tidak bertukar-tukar coach dan tidak banyak campur tangan dari pihak pengurusan.”

Ujarnya kepada Harimau Malaya

Pendapatnya lagi, dengan peluang yang untuk kebanyakan pemain muda ini beraksi di Piala AFF B-23 nanti akan memberi mereka lebih banyak pendedahan dan menggilap bakat serta menambah pengalaman mereka untuk beraksi di peringkat antarabangsa. Beliau turut mempercayai kredibiliti Shin Tae-Yong sebagai jurulatih dan mendesak agar PSSI memberikannya waktu lebih panjang lagi untuk membuktikan kebolehannya.