Kebetulan? KDA FC bakal bina pusat latihan baru, TCH kembali ke Darul Aman

1,165

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini menjadi buah mulut peminat apabila mereka dilaporkan bakal membina sebuah pusat latihan dianggarkan bernilai RM20 juta.

Pengumuman pusat latihan baru itu sekaligus menguatkan lagi desas-desus sebelum ini yang mengatakan bekas pengendali skuad kebangsaan Malaysia yang juga bekas pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe bakal kembali ke Darul Aman.


Terdahulu ada khabar angin mendakwa Cheng Hoe yang meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya bakal dilantik sebagai Pengarah Teknikal baru Kedah.

Berdasarkan dokumen yang dikongsi di laman sesawang Kedah, projek pusat latihan moden itu dikatakan akan dilengkap dengan tiga buah padang terbuka dan sebuah padang tertutup.

Selain itu, pusat latihan terbaru itu juga akan mempunyai bilik rawatan, gimnasium, bilik analisis prestasi, pejabat, dapur, ruangan makan serta pelbagai kemudahan lain.

Projek Prospektus Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman itu juga dilaporkan akan menempatkan Hub Prestasi Sukan dan Perubatan hasil kolaborasi bersama KXG Sports Analytics.

Jika projek baru ini dilaksanakan ia bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pasukan bola sepak Kedah, tetapi juga seluruh rakyat negeri kerana pusat latihan itu akan turut dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Nampaknya penswastaan pasukan bola sepak di Liga Malaysia perlahan-lahan menuju ke arah profesional dan ia sesuatu yang cukup positif sekiranya sesebuah kelab itu dikendalikan oleh mereka yang profesional dan pakar dalam perniagaan dan bola sepak.

Apa yang peminat harapkan adalah tidak ada lagi campur tangan daripada ahli politik dalam setiap pasukan dalam Liga Malaysia kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah seperti yang terjadi sebelum ini.

Untuk rekod Cheng Hoe yang merupakan bekas pemain Kedah dari 1988 hingga 1995 telah mengemudi pasukan Hijau Kuning itu pada pertengahan musim 2014 berikutan prestasi buruk pasukan ketika itu.

Cheng Hoe tidak mengambil masa lama untuk melakukan perubahan dan berjaya menjadikan Kedah sebagai gergasi utara semula dengan merangkul pelbagai kejuaraan antaranya juara Liga Perdana, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Beliau juga dinobat sebagai jurulatih terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada tahun 2016. Kejayaan Cheng Hoe telah menarik minat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melantiknya sebagai penolong ketua jurulatih Malaysia yang mana beliau kemudian menjadi ketua jurulatih pada tahun 2017.

Khabar angin yang mengatakan Cheng Hoe bakal kembali ke Kedah mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan peminat dengan ada yang gembira dan ada yang tidak.

Bagaimanapun khabar angin ini muncul tepat pada waktunya ketika Kedah mengumumkan projek pusat latihan baru. Adakah ia satu kebetulan atau sebaliknya? Kita tunggu jawapan daripada pihak pengurusan Kedah dan Cheng Hoe sendiri.