Lagi kepakaran Malaysia julang negara luar, Dharmaraj makin dihargai di Indonesia, terima tawaran warganegara

480

Kekalahan pasukan hoki dalam dewan Malaysia kepada Indonesia dalam penentuan pingat emas baru-baru ini masih lagi terasa kerana acara itu merupakan antara harapan negara dalam mencapai misi 40 emas di Sukan SEA 2023.

Apa yang lebih perit ialah, Malaysia yang merupakan pasukan pilihan tewas kepada Indonesia yang dibimbing oleh bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita kebangsaan, Muhammad Dharmaraj Abdullah yang memegang jawatan sebagai pengarah teknikal.


Dengan kejayaan itu, beliau dilaporkan telah menerima tawaran untuk menjadi warganegara Indonesia kerana telah mengangkat tahap hoki di negara itu

Beliau berhijrah ke Indonesia pada tahun 2021, dua tahun selepas kontraknya tamat bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 2019, pada awalnya menjadi Pengarah Teknikal Hoki Wilayah Jawa Barat selama 10 bulan sebelum ditawarkan untuk menyertai skuad kebangsaan Indonesia pada Mei 2021.

Sebelum beliau memutuskan untuk tidak menyambung kontrak bersama KHM, beliau dilaporkan tidak berpuas hati dengan layanan terhadapnya oleh persatuan itu.

Nampaknya, Indonesia akhirnya menjadi pihak yang ‘untung’ daripada konflik antara Dharmaraj dan KHM.

Ini adalah satu kerugian yang amat besar buat negara kerana bukan sahaja kehilangan seorang jurulatih yang hebat dalam sukan hoki, tetapi ‘dirampas’ oleh negara jiran yang kini sedang menunjukkan peningkatan hasil bimbingan Dharmaraj.

Tetapi, kisah Dharmaraj ini tidak asing dalam arena sukan negara kerana sebelum ini tercapat ramai lagi bakat tempatan yang ‘terlepas’ ke negara luar.

Contohnya dalam sukan badminton, Tan Kim Her yang kini merupakan jurulatih beregu Jepun dan Wong Tat Meng yang kini melatih perseorangan lelaki Hong Kong.

Di bawah bimbingan Kim Her, pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi berjaya mencatat sejarah sebagai pemain Jepun pertama yang menjuarai acara beregu lelaki di Kejohanan Dunia 2021.

Tat Meng yang sebelum ini membimbing Korea Selatan pula berjaya membawa pasukan wanita Korea Selatan untuk menjuarai Piala Uber buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

Alangkah baiknya sekiranya kepakaran tempatan ini dapat dimanfaatkan untuk pasukan negara.

Untuk sukan badminton, dari dahulu lagi menjadi kebiasaan buat Malaysia untuk mengambil jurulatih dari Indonesia contohnya Hendrawan dan Rexy Mainaky yang kini bersama BAM.

Tidak dinafikan kepakaran dari negara itu juga pernah menjulang Malaysia di kejohanan besar dunia.

Mungkin perkara sama yang dilakukan oleh Indonesia dalam sukan hoki dengan mengambil kepakaran dari negara ini untuk menaikkan tahap hoki di sana, kerana Malaysia sememangnya diakui sebagai gergasi dalam sukan hoki di Asia Tenggara.