Tiga pemain senior KL City bawa haluan berbeza

372

Bercakap mengenai tiga nama besar ini, mereka sudah tidak asing lagi dalam kalangan peminat bolasepak tanah air. Indra dikhabarkan hampir pasti kembali ke Perak setelah hampir 19 tahun berkelana. Safee Sali pula dikatakan kembali ke pangkuan Pj City FC, manakala Shukor Adan kekal bersama KL City sebagai jurulatih sepenuhnya.

Mereka adalah antara tiga ‘kuda tua’ yang dianggap masih berbisa dan ditagih kebolehannya. Namun melihat pada situasi mereka yang terpaksa bersaing dengan pemain-pemain muda, peluang yang dimiliki mereka kelihatannya masih cerah kerana pengalaman mereka yang luas dalam bolasepak.


Peranan Shukor yang dikatakan akan kekal di KL City sebagai jurulatih akan memberi kelebihan kepadanya kerana pernah berada di kedua-dua posisi dan pastinya tiada yang akan lebih memahami pasukan lebih daripadanya.

Safee yang kembali ke pangkuan PJ City, berpeluang untuk dijadikan pilihan utama kerana beliau adalah antara pemain senior yang masih menyerlah. Memandangkan, PJ City menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya maka peluang lebih terbuka buat Safee Sali.

Indra yang umpama ‘sirih pulang ke gagang’ dan reunion bersama rakan sepasukannya di Perak pada 2003 yang kini adalah barisan kejurulatihan dan pengurusan Perak. Indra pastinya diberi peluang untuk beraksi dan diberi peluang mengetuai pemain-pemain muda yang lain.

Kewujudan mereka dalam bolasepak Malaysia dilihat memberi banyak impak baik kerana mereka berperanan sebagai senior dan contoh yang baik kepada pemain muda, melihat pada konsistensi mereka yang masih kekal beraksi walaupun mencecah usia 40 tahun. 

Lihat saja prestasi mereka ketika bergabung di KL City bersama pemain-pemain muda, kombinasi ini jelas menghasilkan gabungan yang mantap sekaligus membolehkan mereka menjulang kejuaraan Piala Malaysia walaupun dianggap ‘underdog’ pada awalnya.