Ini adalah harga yang kita perlu bayar bila kita ‘reset’ semula, tapi saya gembira kita buat – Hannah Yeoh

1,500

Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa beliau gembira apabila mereka mengambil keputusan untuk ‘reset’ semula pemilihan atlet apabila mereka mengambil keputusan untuk menghantar ramai atlet muda untuk temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini.

Menurut Hannah, walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan untuk melakukan ‘reset’, namun beliau tidak melihat prestasi kontinjen Malaysia pada temasya dwi tahunan itu gagal sebaliknya satu kejayaan apabila ramai atlet muda dan yang pertama kali berjaya menyumbang pingat.


“Bila kita buat ‘reset’ bukan semua pihak akan setuju seperti keputusan sekarang untuk hantar atlet muda iaitu sebanyak 63%. Ada yang kita baca komen mempersoal mengapa kita hantar atlet tidak ada pengalaman.

Tindakan ‘reset’ itu ada kesan dan ini adalah harga yang kita perlu bayar sekarang bila kita ‘reset’ semula, tapi saya gembira kita buat,”

katanya.

Temasya edisi kali ini merupakan rekod baru apabila kontinjen Malaysia menghantar atlet muda paling ramai iaitu sebanyak 427 atlet muda dengan 423 atlet adalah atlet pertama kali menyertai temasya itu.

Atlet pertama kali telah menyumbang sebanyak 12 pingat emas, 20 pingat perak dan 46 pingat gangsa.

Dalam pada itu, Hannah juga berkata ketidakstabilan politik negara menjadi antara faktor mengapa sukan negara merosot.

“Kita perlu buat sesuatu yang drastik kerana sekarang ini kita dapat lihat kesan ketidakstabilan politik, bajet yang semakin hari semakin kecil kerana bila kita lihat sukan sebagai rekreasi sahaja, kita akan beri fokus pada kementerian lain.

Pada tahun ini Perdana Menteri telah bagi kenaikan 10% dari bajet kita. Jadi dalam tahun ini banyak lagi program pembangunan kita akan lancarkan. Program ini adalah untuk kita cari bakat dan membangunkan bakat baru.”

Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini akan menunggu laporan ‘post-mortem’ dari semua persatuan sebelum akan membentangkan laporan itu kepada kabinet.