Undian Pemain Terbaik Bulanan tidak dapat sambutan, kelab yang terlibat perlu mainkan peranan

422

Beberapa hari yang lalu, pemenang Pemain Terbaik Bulan April Liga Super Malaysia diumumkan dengan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Leandro Velazquez telah dipilih sebagai pemenang.

Leandro berjaya menewaskan pesaing lain iaitu Paulo Josue (KL City FC), Soony Saad (Penang FC), Ayron del Valle (Selangor FC) dan Stefano Brundo (Sri Pahang FC) untuk merangkul trofi untuk bulan April.


Malangnya anugerah yang menghargai prestasi cemerlang pemain tampak sepi apabila kurangnya promosi terhadap undian oleh kelab-kelab yang pemainnya tercalon.

Perkara itu didedahkan oleh salah seorang panel untuk anugerah itu yang melihat kekurangan promosi di media sosial oleh beberapa kelab untuk mengajak peminat-peminat mereka untuk mengundi pemain mereka yang tersenarai dalam calon anugerah itu.

Hanya JDT dan Penang yang membuat promosi di media sosial mereka untuk mengajak peminat mereka mengundi pemain mereka yang berada dalam senarai untuk penghormatan, sementara KL City, Selangor dan Sri Pahang tidak mempromosikan apa-apa mengenainya.

Semua sedia maklum bahawa Selangor dan Sri Pahang mempunyai peminat yang cukup ramai di mana peluang untuk pemain mereka untuk memperoleh undian tertinggi sangat cerah, berbeza pula dengan KL City yang tidak mempunyai peminat yang ramai.

Kelab harus mengambil inisiatif untuk cuba mempromosikan sebaik mungkin kerana jika pemain itu berjaya diangkat sebagai Pemain Terbaik Bulanan, pastinya kelab itu sendiri akan terkena tempias positifnya.

Setiap kelab perlu mempunyai perancangan pemasaran yang baik dan juga kerap melakukan interaksi bersama peminat kerana tanpa peminat sukar untuk sesebuah kelab maju ke depan.

Mereka juga tidak boleh mengharapkan pihak penganjur sahaja yang melakukan promosi sedangkan pemain mereka juga yang tersenarai dalam anugerah itu.

Apa salahnya jika setiap kelab yang pemainnya tercalon melakukan promosi besar-besaran kerana melihat pada situasi ketika ini, Liga Super masih perlukan promosi untuk menarik lebih ramai peminat bola sepak tanah air untuk memberi sokongan pada saingan liga domestik.

Oleh itu, diharap situasi ini tidak akan berlaku lagi pada anugerah Pemain Terbaik Bulan Mei nanti dan diharap kelab-kelab yang pemainnya tercalon dapat membuat promosi kepada peminat mereka supaya pemain kesayangan mereka dapat dinobat sebagai pemenang.