Memang prestasi Penang FC agak baik sejak kebelakangan ini, tetapi masih tak boleh berpuas hati – Manzoor Azwira

129

Penolong ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid beranggapan masih terlalu awal untuk mendabik dada mengenai prestasi baik yang ditunjukkan oleh pasukan itu sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, para pemain harus menunjukkan peningkatan dari segi individu, selain memantapkan lagi persefahaman dan kombinasi dalam pasukan.


“Saya bersyukur kita dapat catatkan keputusan yang agak baik dalam empat atau lima perlawanan terakhir termasuk dalam Piala FA, pasukan ini menunjukkan perkembangan yang positif tetapi masih terlalu awal untuk kita berpuas hati.

Untuk perlawanan selepas cuti panjang ini, kita kekalkan taktikal yang sama cuma dari segi individu harus ada perkembangan yang positif, dan dalam masa yang sama persefahaman serta kombinasi perlu dipertingkat lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau menjangkakan perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC esok adalah satu cabaran buat pasukannya kerana mereka tidak pernah tewas musim ini.

Namun, beliau bertekad mahu melakukan yang terbaik untuk mendapatkan mata penuh pada perlawanan itu.

“Semua sedia maklum bahawa Sri Pahang tidak pernah kalah lagi dalam liga, jadi ia satu tugas berat.

Kita akan buat yang terbaik esok, dalam bola sepak ini apa-apa saja boleh berlaku, kita hanya perlu berusaha dan doa yang terbaik.”

Sementara itu, beliau berkata setakat ini masih tiada keputusan daripada pihak pengurusan sama ada pasukan akan mengambil pemain baharu pada jendela pendaftaran pemain kedua akan datang.