Fokus sekarang bersama Penang FC, tawaran dari kelab lain tunggu hingga musim tamat – Soony Saad

92

Pemain import Penang FC, Soony Saad mahu memberi sepenuhnya fokus kepada kelabnya itu walaupun terdapat khabar angin mengenai tawaran daripada beberapa kelab besar untuk mendapatkan dirinya.

Jelasnya, beliau mahu menghabiskan dahulu musim ini bersama Penang sebelum berfikir mengenai masa depannya.


“Sekarang fokus saya adalah bersama Penang, saya mahu buat yang terbaik besama pasukan ini, kita sedang berada di prestasi yang baik.

Perkara selain daripada itu biarlah simpan sehingga tamat musim, sekarang apa yang penting adalah saya kekalkan prestasi bersama Penang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelas Soony, beliau mahu mengekalkan prestasi cemerlang untuk mendapatkan panggilan ke Piala Asia 2023 bersama Lubnan.

Sementara itu, beliau teruja untuk kembali beraksi selepas Liga Super berehat seketika bagi memberi laluan kepada Sukan SEA baru-baru ini.

“Kita sudah ‘lapar’ pada rehat yang panjang ini, kita amat teruja untuk kembali dan mahu memberikan sebaik mungkin kerana kita ada dua perlawanan besar sebelum saingan Piala FA.

Kita tahu Sri Pahang adalah pasukan yang kuat, mereka tak pernah kalah lagi tetapi saya harap kita mampu mendapatkan mata penuh.”

Beliau berterima kasih kepada pasukan Penang kerana menandatanganinya ketika beliau berehat panjang selepas kontrak bersama kelab Thailand, PT Prachuap tamat Jun tahun lalu.

Beliau bertekad mahu membalas jasa Penang dengan membuktikan kemampuan sebenarnya bersama kelab itu.