Dechi Marcel yakin KDA FC mampu julang trofi Liga Super

326

Pemain import baru pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Dechi Marcel N’Guessan meluahkan keyakinannya terhadap pasukan barunya mampu menjadi pencabar utama untuk julang trofi Liga Super musim ini.

Dechi Marcel bakal menggalas tugas penting sebagai pemain tengah bagi menggantikan tempat yang ditinggal oleh pemain ‘lagend’ Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar.


“Tahun lalu Kedah berjaya menduduki tangga kedua dalam Liga Super jadi pasukan ini mempunyai pengalaman yang cukup luas. Dengan mentaliti yang sentiasa ingin menang dan bekerja keras saya yakin kami mampu cipta kejayaan,” ujarnya kepada Harimau Malaya.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Menurut Dechi yang terkenal dengan jolokan ‘Kante Malaysia’ mengakui menerima banyak tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super lain, tetapi beliau memilih untuk bersama Kedah kerana baginya pasukan Hijau Kuning merupakan antara pasukan gergasi dan terbaik di Malaysia.

Selain teruja untuk bermain bersama Kedah, Dechi juga tidak sabar untuk membantu pasukan Kedah untuk beraksi di pentas Asia Tenggara apabila skuad kendalian Aidil Sharin Sahak akan bermain di saingan Piala AFC.

“Saya tidak mempunyai pengalaman bermain di pentas AFC tetapi saya mendengar daripada beberapa rakan saya yang pernah bermain dalam kejohanan itu sebelum ini. Ini membuatkan saya lebih teruja untuk merasai sendiri pengalaman bermain di pentas AFC.”

Ditanya mengenai kemasukan penyerang dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad, Dechi berkata walaupun beliau tidak mengenali secara peribadi tetapi beliau mengakui kehebatan yang ada pada Syafiq yang turut bermain untuk skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, Dechi memberitahu beliau baru sahaja pulang dari bercuti dan kini sedang dalam proses kuarantin sebelum dapat turun berlatih bersama rakan sepasukan.

Untuk peminat Kedah yang kurang mengenai Dechi, nama beliau mula menjadi sebutan sejak menyertai pasukan Terengganu FC II.

Walaupun bertubuh kecil, namun kerajinan dan kesungguhan beliau di atas padang mendapat pujian melambung daripada pemain. Beliau juga mempunyai skil dan teknik yang cukup baik dalam mengawal di bahagian.