Semakin temui rentak, Engku Shakir boleh beri nafas baharu kepada barisan serangan Terengganu FC

228

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner, Terengganu FC mendapat rentak kemenangan apabila jaringan tunggal Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob memastikan skuad Sang Penyu mendapat kemenangan tipis mengatasi Penang FC 1-0 dalam saingan Liga Super semalam.

Kepercayaan Steinbruckner terhadap pemain itu ternyata membuahkan hasil apabila Shakir masuk pada babak kedua perlawan dan membuktikan beliau masih lagi mempunyai ketajaman di hadapan gol.


Shakir juga telah membuka akaun jaringannya bersama pasukan Terengganu musim ini dan dinobatkan sebagai Man of The Match oleh para penyokong pada perlawanan itu.

Beberapa tahun dahulu, beliau pernah dianggap sebagai salah seorang bakat masa hadapan ketika bermain di Terengganu II.

Shakir pernah tersenarai dalam calon penyerang terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20), yang menunjukkan bahawa beliau merupakan salah seorang pemain yang diharapkan bakal menjadi bintang.

Rakan-rakan sepasukannya di Terengganu II ketika itu seperti Jordan Mintah, Alif Zakaria dan Suhaimi Husin yang kini bermain untuk skuad utama Terengganu serta Bruno Suzuki (PDRM FC), masing-masing sudah menjadi pemain utama buat pasukan pada musim ini.

Namun, beliau kini hanya kerap memanaskan bangku simpanan di Terengganu, mencatatkan enam penampilan Liga Super.

Bagaimanapun, dalam empat perlawanan terakhir ini, beliau sering diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk dimasukkan sebagai pemain gantian.

Dengan gol tersebut, ia mungkin boleh menjadi pemangkin buat pemain itu mendapatkan rentaknya semula dan bersaing dengan penyerang lain yang dimiliki Terengganu.

Beliau sudah menampakkan permulaan positif untuk membuktikan dirinya mempunyai ketajaman di hadapan gawang gol jika diberi kepercayaan dari jurulatih.

Siapa tahu, beliau boleh menjadi supersub untuk pasukan Terengganu dan membantu barisan serangan pasukan itu yang tidak konsisten dalam menjaringkan gol.