Saya terpaksa berpuas hati sebab menang tapi tak puas hati dengan barisan pertahanan – Tomislav Steinbruckner

281

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner memberitahu beliau terpaksa berpuas hati dengan kemenangan pasukannya selepas mereka berjaya menewaskan Kelantan FC 4-2 dalam perlawanan suku akhir Piala FA petang tadi.

Steinbruckner bagaimanapun turut meluahkan rasa kurang berpuas hatinya terhadap barisan pertahanan yang longgar.


“Saya terpaksa berpuas hati sebab menang kerana kita berjaya mara ke peringkat seterusnya selepas menjaringkan empat gol yang menarik.

Saya bagaimanapun tidak boleh berpuas hati dengan barisan pertahanan apabila kita membenarkan pasukan lawan menjaringkan dua gol akibat kesilapan kita sendiri. Saya tidak mahu komen mengenai individu tetapi mereka tahu siapa yang salah,”

katanya.

Beliau berkata walaupun sebelum ini ada yang mengatakan perlawanan menentang Kelantan senang berikutan beberapa kekalahan besar pasukan itu di saingan Liga Super, namun pada perlawanan petang tadi ia satu perlawanan yang sukar.

Kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tadi menyaksikan Terengganu berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala FA yang mana mereka akan menunggu pemenang satu lagi suku akhir membabitkan Sabah FC dan Kuala Lumpur FC.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui beraksi pada waktu petang sangat sukar buat pasukannya yang tidak mempunyai rehat yang cukup.

“Perlawanan pada sebelah petang tidak mudah, tambahan pula kami baru sahaja bermain tiga hari lalu dalam Liga Super sekaligus memberi Kelantan sedikit kelebihan tapi kami adalah sebuah pasukan yang lebih baik dan kami berhak untuk menang hari ini.”