Liga Super bersambung tiga hari lepas Malaysia menentang Yaman, harap tiada pemain yang alami kecederaan hingga terpaksa digugurkan

408

Malaysia bakal menghadapi dua perlawan persahabatan dalam kalendar FIFA pada 14 dan 20 Jun ini Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu menentang Solomon Islands dan Yaman.

Sudah pasti jurulatih negara, Kim Pan-gon diharapkan dapat membawa skuad terkuat pada dua aksi itu sebagai salah satu persiapan untuk ke Piala Asia yang tidak sampai setahun lagi.


Selepas dua perlawanan persahabatan itu, Liga Super minggu ke-15 akan kembali bersambung pada 23 Jun 2023.

Empat perlawanan akan berlangsung iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang KL City, Terengganu menentang Kedah Darul Aman, Kelantan menentang Sri Pahang dan Perak menentang PDRM.

Dengan tempoh singkat sebanyak tiga hari sahaja daripada perlawanan kedua menentang Yaman, kebimbangan mula timbul mengenai persiapan kelab selepas perlawanan persahabatan itu.

Adakah akan ada pemain terpaksa dilepaskan dari kem kebangsaan kali ini memandangkan jadual padat, jadi kebarangkalian untuk pemain cedera adalah tinggi.

Sebelum ini dua pemain negara, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Endrick Dos Santos terpaksa digugurkan dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya berikutan mengalami kecederaan.

Mereka dibenarkan untuk pulang ke kelab bagi menjalani tempoh pemulihan sebelum perlawanan Liga Super menentang Sabah, yang juga berlangsung tiga hari selepas aksi persahabatan ketika itu.

Adakah berlaku lagi insiden seperti itu pada kem kebangsaan kali ini? Ia pasti akan menyukarkan Pan-gon untuk menilai pemain, kombinasi serta strategi terbaik untuk pasukan Harimau Malaya sekiranya pemain utama terpaksa digugurkan.

Walaubagaimanapun diharapkan tidak akan berlaku lagi masalah kecederaan kepada pemain yang dipanggil pada perlawanan persahabatan bulan depan sehingga terpaksa digugurkan, kerana ia merupakan ujian penting untuk Pan-gon menjelang Piala Asia 2023.