Terengganu sasar jeneral tengah kelab Lembah Klang, dua pemain KL City bertepatan dengan ciri-ciri dikehendaki

827

Menjelang jendela pendaftaran pemain kedua Liga Super 2023 yang akan dibuka tidak lama lagi, kebanyakan pasukan pastinya sedang melakukan perancangan untuk memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain baharu.

Tidak ketinggalan pasukan Pantai Timur, Terengganu FC yang dilaporkan mahu mendapatkan seorang pemain tengah.


Memetik laporang Majoriti, Ketua Pegawai Eksklusif kelab, Ab Rasid Jusoh mendedahkan bahawa pasukan itu berminat untuk mendapatkan seorang jeneral tengah yang bermain untuk kelab Lembah Klang dan pernah menyarung jersi kebangsaan, berusia 30-an.

Katanya, mereka pernah mencuba untuk mendapatkan pemain itu pada awal musim tetapi sukar untuk mendapatkan pemain tersebut.

Berdasarkan ciri-ciri yang disebut, terdapat beberapa pemain yang dilihat sesuai dan mungkin boleh berpindah pada jendela pendaftaran pemain kedua ini.

Dua pemain tengah KL City, Kenny Pallraj dan Akram Mahinan dilihat bertepatan dengan ciri-ciri yang digambarkan itu.

Kedua-duanya boleh dianggap sebagai jeneral tengah serta pernah menyarung jersi kebangsaan satu ketika dahulu.

Antara kedua-dua pemain itu, mungkin peluang untuk mendapatkan Akram lebih tinggi kerana beliau jarang diturunkan bermain pada musim ini, merekodkan tiga penampilan dalam saingan liga.

Kenny pula semakin menjadi pilihan Bojan Hodak pada musim ini, selepas sering memanaskan bangku simpanan pada musim lalu.

Kedua-dua pemain ini dilihat mampu menambah kualiti yang ada pada barisan tengah Terengganu yang boleh dikatakan tidak begitu kukuh pada musim ini.

Terengganu baru sahaja mengumumkan ketibaan bekas pemain Selangor, Norhakim Hassan sebagai pemain baharu yang akan menyertai pasukan itu pada jendela pendaftaran pemain kedua.

Norhakim mampu memberi pilihan tambahan untuk ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang baru sahaja kehilangan Syafik Ismail akibat kecederaan ACL.