Kita kena tukar daripada ‘mentaliti menang’ kepada ‘mentaliti juara’ – Tan Sri Mohd Daud Bakar

306

Pemilik Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar mahu para pemain pasukan itu mengubah mentaliti mereka daripada ‘mentaliti menang’ kepada ‘mentaliti juara’.

Beliau berkata, sukar untuk mengubah tabiat yang ada dalam diri, tetapi ia adalah satu cabaran baru buat pemain daripada jurulatih.


“Nak tukar tabiat lama kepada yang baru adalah perkara paling sukar, tadi ketika dalam bilik persalinan saya ada cakap kepada pemain untuk tukar daripada ‘mentaliti menang’ kepada ‘mentaliti juara’.

Saya rasakan keserasian, persefahaman dan keyakinan diri sudah dibentuk dan malam ini adalah kemuncaknya, saya gembira kita tamatkan pusingan pertama di kelompok empat teratas,”

katanya.

Beliau bersyukur Kedah kembali mencatatkan kemenangan menewaskan Sabah FC dan genbira dengan perubahan pasukan dalam tempoh lima bulan di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Dalam pada itu, beliau mengakui akan berusaha untuk membawa masuk pemain baharu pada jendela pendaftaran pemain kedua akan datang.

“Kita akan dapatkan nama baharu untuk menambah kekuatan pasukan, bukan untuk menggantikan siapa-siapa.

Jika diizinkan, akan ada seorang dua atau lebih wajah baharu yang menyertai pasukan, saya tahu penyokong juga mahu lihat muka baharu.”

Sementara itu, beliau gembira dengan kehadiran di Stadium Darul Aman pada mala mini yang mencecah 10,000 penyokong.

Katanya, jumlah kehadiran 10,000 penyokong dalam setiap perlawanan di stadium adalah tanda aras baharu untuk pasukan Kedah.